TANG Jie (kanan) dan Ee Wei akan bertemu beregu Perancis di separuh akhir Terbuka China, esok. FOTO ARKIB NSTP
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei akan bertemu beregu Perancis di separuh akhir Terbuka China, esok. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka China, yang juga kali pertama di kejohanan bertaraf Super 1000 belum membuatkan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berasa puas.

Sebaliknya, Tang Jie menegaskan, mereka mengharapkan aksi lebih mantap pada saingan separuh akhir bertemu beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue bagi perebutan tiket ke final, esok.

Pada aksi suku akhir hari ini, pasangan ranking ke-11 dunia itu menewaskan gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-15, 13-21, 21-16 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

"Sudah tentu kami sangat gembira dengan kejayaan ini kerana ini adalah kali pertama kami layak ke separuh akhir kejohanan Super 1000.

"Akhirnya, kami berjaya melakar pencapaian lebih baik dalam kejohanan Super 1000 selepas mara ke suku akhir Terbuka Malaysia.

"Kami gembira strategi diterapkan terutama di set penentuan menjadi. Kami lebih berani selepas 11 mata kerana sebelum itu perlawanan agak tegang.

"Apapun, tugasan kami belum selesai, masih ada perlawanan separuh akhir dan jika menang ada final pula. Jadi, kami perlu fokus satu demi satu perlawanan," kata Tang Jie ketika ditemuramah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Rekod pertemuan dengan lawan mereka esok lebih memihak kepada Tang Jie-Ee Wei yang menang ketika pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, bulan lalu.

"Kami akan mengambil pendekatan 'nothing to lose' dalam perlawanan separuh akhir nanti.

"Kami akan berjuang habis-habisan untuk menghasilkan keputusan terbaik," kata Ee Wei kepada BWF.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut melangkah ke separuh akhir selepas mengejutkan pasangan nombor empat dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-18, 21-19 di suku akhir.

"Ia sesuatu yang menakjubkan, ini adalah kemenangan besar untuk kami. Kami sudah banyak kali tewas kepada pasangan Thailand ini dan setiap kali kami tewas kami belajar, kemenangan ini adalah hasilnya," kata Pei Jing.

Bagaimanapun, mereka berdepan satu lagi ujian getir apabila bertemu juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung di separuh akhir, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 5:11 PM