TANG Jie dan Ee Wei akan menentang gandingan Korea Selatan.
TANG Jie dan Ee Wei akan menentang gandingan Korea Selatan.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Semangat juang tinggi dan tidak cepat berputus asa menjadi kunci utama kebangkitan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk memenangi perlawanan di pusingan kedua, sekali gus melangkah ke suku akhir Terbuka Singapura, esok.

Dalam aksi di pusingan kedua hari ini, mereka lambat panas sehingga membenarkan lawan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje untuk mendahului enam mata di depan sebelum menukar corak permainan dan bangkit hingga mengikat kedudukan 17-17 sebelum memenangi set pertama.

"Saya rasa pada set pertama, kami ketinggalan 4-11, saya terus berkomunikasi dengan dia.

"Kami masih percaya boleh bangkit untuk menang. Kami bangga dapat menang pada set pertama," kata Tang Jie.

Bagi Ee Wei, perlawanan menentang pasangan Denmark itu sangat sengit dan lawan mereka berada di prestasi terbaik, namun kemenangan lebih memihak kepada Malaysia.

"Saya rasa ini bukan perlawanan mudah kerana mereka adalah lawan sangat kuat. Mereka bermain dengan baik sebelum ini, jadi kami tidak berfikir terlalu banyak. Kami berusaha dan bermain sebaik mungkin di dalam gelanggang.

"Untuk perlawanan suku akhir, kami berharap dapat menampilkan prestasi terbaik dan menang perlawanan itu untuk ke separuh akhir," katanya.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-17 dan 21-18 dalam masa 40 minit permainan.

Di suku akhir esok, mereka bakal bertemu pilihan keempat dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung yang selepas menewaskan wakil Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dalam pertarungan tiga set, 21-19, 18-21, 21-16.

Kali terakhir kedua-dua pasangan bertemu adalah di separuh akhir Masters Korea Selatan tahun lalu dengan kemenangan memihak kepada Seung Jae-Yu Jung, 14-21, 17-21.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei turut mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dengan kemenangan straight set, 21-13, 21-16 dalam masa 40 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 5:37 PM