TANG Jie dan Toh Ee Wei ketika bertemu wakil Thailand, Dechapol Puavaranukron dan Saprsiree Taerattanachai, hari ini. FOTO Aswadi Alias
TANG Jie dan Toh Ee Wei ketika bertemu wakil Thailand, Dechapol Puavaranukron dan Saprsiree Taerattanachai, hari ini. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk melakar kejutan dengan sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila mereka terkandas di suku akhir sebentar tadi ketika berdepan wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Tang Jie-Ee Wei yang baru digandingkan sejak dua bulan lalu harus akur masih kurang berpengalaman terutama ketika berdepan pasangan terbaik dunia seperti Dechapol-Sapsiree apabila tumpas straight set 19-21, 9-21.

Beraksi di Axiata Arena, Tang Jie-Ee Wei bermula agak perlahan di set pertama namun menunjukkan kebangkitan tatkala lawan mereka yang juga juara dunia 2021 itu mendahului sehingga 13 mata.

Ee Wei menjadi nadi utama ketika cuba menyamakan kedudukan 14 sama sebelum pasangan Thailand mula mendapat rentak dan memuktamadkan kemenangan set pertama dengan 21-19 dalam tempoh 19 minit.

Bermula set kedua, Tang Jie-Ee Wei begitupun seakan hilang rentak dan kehilangan mata di tangan lawan sehingga pasangan diranking ketiga dunia itu mudah untuk menjinakkan pasangan negara yang baru digandingkan sejak dua bulan lalu.

Beregu negara itu tewas 21-9 di set kedua dan ditunjuk jalan keluar dengan keputusan straight set 19-21, 9-21 dalam tempoh 36 minit.

"Kami sudah memberikan mereka tentangan sengit namun akhirnya kami tersilap kerana mudah membiarkan mereka melakukan serangan.

"Kalau kita dapat mengatasi mereka di set pertama saya rasa aksi kedua memang lain sedikit. Dalam masa sama di set kedua juga saya banyak melakukan kesilapan," kata Tang Jie.

Dechapol-Sapsiree selepas ini dijadual bertemu ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang sebelum ini mara ke separuh akhir selepas menewaskan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dari Korea Selatan, 21-17, 21-17.

Semalam, Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir selepas menewaskan beregu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-19, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 4:34 PM