REAKSI kecewa Wooi Yik (kiri) dan Aaron selepas tamat perlawanan. FOTO ASWADI ALIAS
REAKSI kecewa Wooi Yik (kiri) dan Aaron selepas tamat perlawanan. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi & Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Skrip tahun lalu berulang di Terbuka Malaysia 2024 apabila tidak ada wakil negara berjaya mara ke separuh akhir esok apabila harapan terakhir yang diletakkan terhadap beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-16, 18-21, 13-21 di Axiata Arena sebentar tadi.

Kekalahan pilihan ketiga kejohanan itu menyaksikan penyokong badminton negara terus kempunan untuk sekurang-kurangnya melihat aksi separuh akhir membabitkan pemain Malaysia sama seperti tahun lalu yang menyaksikan beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga terkandas di peringkat sama.

Menurut Aaron, perlawanan hari ini menyaksikan mereka sudah bermula dengan baik tetapi masuk ke set kedua semuanya tidak berlaku seperti yang diharapkan.

"Set kedua kami terlampau teruja untuk mencatat kemenangan, fokus kami untuk permainan sedikit lari," kata pemain berusia 26 tahun itu kepada media selepas perlawanan tamat.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui mereka melakukan kesilapan selepas pertukaran gelanggang di set penentuan, kerana peluang untuk meraih mata tidak disambar sebaik mungkin.

"Kami juga kalah ketika persaingan rali, mereka pula terus fokus selepas menyambar dua mata berturut-turut tatkala kami bergelut dengan keadaan di dalam gelanggang," katanya.

Kekalahan Aaron-Wooi Yik, kepada pilihan keenam itu menyaksikan mereka gagal mengulangi pencapaian terbaik pada 2022 apabila berjaya melangkah ke separuh akhir.

Selepas ini mereka akan menyambung saingan dengan beraksi di Terbuka India (16-21 Januari) dengan berdepan pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito.

Sebelum itu, ribuan peminat dikecewakan dengan penyingkiran Yew Sin-Ee Yi selepas mereka kalah Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 15-21, 9-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 11:11 PM