PENG Soon (kanan) bersama pasangannya, Yee See melambai tangan buat kali terakhir kepada penonton selepas mengambil keputusan untuk bersara. FOTO ASWADI ALIAS
PENG Soon (kanan) bersama pasangannya, Yee See melambai tangan buat kali terakhir kepada penonton selepas mengambil keputusan untuk bersara. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas hampir 20 tahun menghambakan diri di peringkat tertinggi badminton, Chan Peng Soon akhirnya dengan penuh sebak mengucapkan selamat tinggal kepada sukan berkenaan sebaik sahaja dia tersingkir di pusingan pertama Masters Malaysia hari ini di Axiata Arena.

Dia yang bergandingan bersama Cheah Yee See yang juga mengambil keputusan sama sepertinya, terpaksa akur dengan kehebatan Cheng Xing-Li Qian dari China selepas kalah 10-21, 6-21.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, hati dia berasa tenang tetapi kurang selesa.

"Tidak tahu hendak buat apa, untuk saya memang mahu menangis namun perlu tahan dulu," katanya.

Ujar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Goh Liu Ying, untuk mencapai tahap sepertinya sekarang ini bukan mudah dan tiada jalan pintas.

"Saya hendak memberitahu pemain muda kalau hendak menjadi pemain bertaraf dunia tidak ada jalan pintas. Masa sangat cepat berlalu, jangan anggap muda lagi ada masa," katanya.

Katanya, dia terpilih menyertai skuad pelapis kebangsaan pada 2006 ketika berusia 18 tahun.

"Waktu itu saya perlu melalui tempoh percubaan selama enam bulan, sepanjang tempoh itu memang tiada gaji dan hanya diberikan tempat tinggal dan makan. Ketika itu saya bertanya kepada diri sendiri sama ada sukan ini ada masa depan atau sebaliknya.

"Namun, saya perlu katakan yang saya tidak menyesal memilih badminton sebagai kerjaya. Badminton bukan sahaja mengenai keputusan atau sebagai sumber pendapatan saya tetapi ia membuka mata saya mengenai dunia luar.

"Apabila saya ke luar negara, saya dapat jumpa dengan ramai orang dan dapat belajar banyak perkara termasuklah budaya negara orang," katanya.

Peng Soon berkata, kejayaan memenangi perak di Rio adalah detik paling bermakna dalam kerjayanya dan dengan kejayaan itulah orang ramai mula memberikan tumpuan kepada acara beregu campuran.

"Di Malaysia, orang tidak pandang sangat acara beregu campuran tetapi bermula kejayaan di Rio, orang ada beri tumpuan sedikit tetapi masih kurang berbanding acara lain.

"Saya harap semua pihak dapat beri tumpuan yang sama rata dengan beregu campuran sebab kalau kami menang emas, ia juga turut menyumbang kejayaan kepada negara," katanya.

Sementara itu, Yee See turut mengumumkan persaraan hari ini mengakui antara detik bermakna sepanjang kerjayanya adalah waktu dia dan gandingannya Hoo Pang Ron menyumbang mata kemenangan skuad negara ketika menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi suku akhir Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 6:16 PM