PENG Soon akan buat pengumuman secara rasmi. FOTO Ihsan Instagram pschan88
PENG Soon akan buat pengumuman secara rasmi. FOTO Ihsan Instagram pschan88
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran berpengalaman negara Chan Peng Soon masih belum memutuskan hala tujunya pada masa akan datang selepas mengambil keputusan keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Peng Soon, 34, yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama bekas gandingannya, Goh Liu Ying, berkata dia memerlukan masa sebelum menentukan hala tuju kerjayanya selepas ini.

"Buat masa ini, saya belum fikir lagi (perancangan). Mungkin bulan depan saya akan buat pengumuman secara rasmi.

"Saya mahu fikir baik-baik sebelum buat sebarang keputusan," katanya.

Mengikut rekod, ini adalah kali kedua Peng Soon meninggalkan BAM selepas membuat keputusan sama bersama Liu Ying pada 2018 untuk bergerak secara profesional.

Pemain berasal dari Pulau Pinang itu bagaimanapun kembali ke pangkuan BAM awal tahun ini dan digandingkan bersama Yee See pada Jun lalu.

Bagaimanapun, gandingan mereka gagal mencetuskan impak positif apabila sering terkandas di pusingan awal dalam kejohanan disertai termasuklah ketika saingan Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis, bulan lalu sekali gus mendorong kedua-dua pemain untuk meninggalkan skuad kebangsaan.

Pencapaian terbaik mereka adalah mara sehingga suku akhir Terbuka Vietnam, September lalu. Terdahulu, Peng Soon menerusi hantaran di Facebook miliknya, semalam memberi bayangan yang dia akan mengembangkan kerjaya badmintonnya ke arah yang baharu.

Semalam, Arena Metro melaporkan beregu campuran kebangsaan Chan Peng Soon dan Cheah Yee See secara rasmi 'bercerai' dengan BAM bermula penghujung bulan ini.

Situasi terbabit disahkan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh yang menjelaskan dua pemain terbabit membuat keputusan untuk 'angkat kaki' walaupun pihaknya cuba memujuk mereka supaya kekal di Akademi ABM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 3:13 PM