LIU Ying (kiri) kembali bergandingan bersama Peng Soon.  FOTO/OSMAN ADNAN
LIU Ying (kiri) kembali bergandingan bersama Peng Soon. FOTO/OSMAN ADNAN
Helmi Talkah


WALAUPUN menunjukkan peningkatan positif, namun gandingan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See tetap akan dipisahkan bagi memberi laluan untuk Peng Soon kembali bergandingan bersama Goh Liu Ying.

Jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, berkata keputusan menggandingkan Peng Soon dengan Yee See bukanlah perancangan untuk jangka masa panjang sebaliknya ia dilakukan susulan kecederaan dialami Liu Ying.

“Kami menggandingkan Peng Soon dengan Yee See disebabkan situasi yang dialami Liu Ying. Kami mahu Peng Soon membantu pemain muda seperti Yee See meningkatkan prestasinya dan dalam hal ini kedua-dua mereka mendapat kebaikan.

“Yee See dapat belajar daripada pemain senior seperti Peng Soon manakala Peng Soon pula boleh mengekalkan konsistensinya beraksi dalam kejohanan kompetitif. Gandingan Peng Soon-Yee See bukanlah untuk jangka masa panjang.

“Saya tidak fikir ia keputusan yang silap kerana seperti yang saya katakan kedua-dua pemain mendapat kebaikan,” kata Cheh Chang.

Peng Soon-Yee See mula digandingkan sejak Jun lalu selepas Liu Ying terpaksa berehat panjang susulan pembedahan bahu Mei lalu.

Kombinasi yang dibentuk Peng Soon-Yee See mula menunjukkan petanda positif apabila mereka menghasilkan beberapa keputusan cemerlang termasuk menjuarai Grand Prix Terbuka Russia selain layak ke separuh akhir Siri Super Premier Terbuka Denmark, Oktober lalu.

Malah, mereka juga mara ke separuh akhir Terbuka Macau sebelum tewas di tangan pasangan China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong, semalam.

Liu Ying pula dijangka kembali beraksi dengan pasangan baharu, Chen Tang Jie pada kejohanan Siri Antarabangsa India (23 hingga 26 November) dan Cabaran Antarabangsa India (29 November hingga 3 Disember).

Ia sebagai langkah permulaan bagi membolehkan dia kembali mencapai prestasi sebenarnya.

“Kemungkinan besar Peng Soon-Liu Ying akan digandingkan semula namun bila waktunya, kami belum pasti. Saya ada berbincang dengan ketua jurulatih beregu campuran, Chin Eei Hui mengenai perkara ini dan kami akan nilai prestasi Liu Ying terlebih dahulu.

“Jika Liu Ying sudah kembali pada tahap terbaiknya, peluang untuk dia kembali bergandingan dengan Peng Soon memang tinggi,” kata Cheh Chang.

Gandingan Peng Soon-Liu Ying berjaya mencetuskan impak tahun lalu apabila menyumbangkan pingat perak Olimpik Rio 2016 buat kontinjen Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 10:42 AM