PENG Soon (kanan) dan Yee See melambai kepada peminat selepas mengumumkan persaraan, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
PENG Soon (kanan) dan Yee See melambai kepada peminat selepas mengumumkan persaraan, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sebagai pemain beregu campuran paling berjaya ketika bergandingan bersama Goh Liu Ying, Chan Peng Soon meletakkan harapan besar agar bahagian berkenaan diberikan perhatian khusus.

Dia yang beraksi buat kali terakhir sebagai pemain badminton profesional di pusingan pertama Masters Malaysia semalam, mengharapkan agar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadikan beregu campuran sama penting seperti bahagian lain.

"Saya rasa bahagian beregu campuran boleh jadi lagi bagus. Jangan sampai jadikan bahagian beregu campuran sebagai stesen terakhir buat pemain yang sudah dibuang dari bahagian perseorangan," katanya yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Liu Ying.

Ujar pemain kelahiran Pulau Pinang itu, jika beregu campuran dijadikan tempat pembuangan pemain, ia agak sukar untuk pemain itu sendiri untuk menyesuaikan diri.

"Ini menyebabkan pemain berkenaan agak perlahan untuk mengejar bagi menyesuaikan diri selepas ditempatkan di bahagian beregu campuran," katanya yang mula menyertai badan induk berkenaan seawal 18 tahun.

Selepas kejayaan Peng Soon-Liu Ying merangkul beberapa kejuaraan di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) serta menempatkan diri di kelompok tiga terbaik dunia, beregu campuran mula membuka mata semua pihak termasuk BAM.

Jika dahulu tumpuan hanya diberikan kepada bahagian perseorangan dan beregu (lelaki/wanita), sejak kebelakangan ini beregu campuran mula menjadi salah satu elemen penting dalam skuad kebangsaan termasuk pelantikan jurulatih bekas juara dunia dua kali dari Indonesia, Nova Widianto.

Ditanya sama ada dia berasa kesal memilih sukan badminton sebagai kerjaya, Peng Soon yang bergandingan bersama Cheah Yee See sebelum menggantung raket mengakui, tidak sama sekali menyesal.

"Badminton bagi saya bukan hanya setakat keputusan sahaja, ia membolehkan saya menjelajah seluruh dunia, mengenali tempat orang dan belajar budaya luar," katanya yang turut menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2010 di New Delhi, India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 12:19 PM