PENG Soon (kanan) dan Yee See tewas awal di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis. FOTO BADMINTON PHOTO
PENG Soon (kanan) dan Yee See tewas awal di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis. FOTO BADMINTON PHOTO
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Status pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon menjadi tanda tanya selepas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menarik diri daripada Terbuka Hylo di Jerman, yang membuka tirai hari ini.

Desas-desus pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkemungkinan akan bersara tercetus selepas dia memuat naik hantaran di laman media sosialnya.

"Selamat tinggal Paris, lain kali saya jumpa awak, ia akan menjadi identiti yang berbeza," katanya.

Ia ditambahkan lagi dengan dua keputusan Peng Soon dan pasangannya, Cheah Yee See di Terbuka Denmark dan Perancis tidak begitu memberangsangkan apabila tersingkir seawal pusingan pertama.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky tidak menolak spekulasi berkenaan dengan menjelaskan akan ada satu pertemuan dilakukan membabitkan dirinya bersama Peng Soon, Yee See dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dalam minggu ini.

"Peng Soon ada memberitahu saya, selepas aksi di Eropah, kalau keputusannya tidak bagus dia memang sudah ada perancangan, dia tahulah dirinya berdasarkan usia.

"Mungkin dia bersara, tetapi bergantung, tidak pasti bila dia akan berjumpa Datuk Kenny, dari cara dia bercakap dia mungkin sudah ada keputusan.

"Jadi kita harus mencari jalan untuk meletakkan bergandingan dengan siapa, kita masih ada Choong Hong Jian, Chen Tang Jie, Hoo Pang Ron," jelas Rexy yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.

Pada masa sama, seorang lagi pemain beregu campuran negara, Peck Yen Wei membuat keputusan mengejutkan untuk meninggalkan badan induk itu, semalam, selepas 10 tahun bersama.

Antara punca utama Yen Wei meninggalkan BAM adalah disebabkan bergelut dengan kecederaan di bahagian pergelangan kaki kiri.

"Dia sudah maklumkan kepada saya dari awal, selama ini dia bergelut dengan kecederaannya, jadi dia mahu mencuba benda baru selepas ini, di samping memberi peluang kepada pemain baru.

"Bukan kita tidak mahu dia, kita mahu, bahkan saya dan Datuk Kenny cuba memujuk dia, tetapi dia sudah membuat keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 6:30 PM