PENG Soon (kiri) dan Yee See meraikan kejayaan mereka. FOTO FATHIL ASRI
PENG Soon (kiri) dan Yee See meraikan kejayaan mereka. FOTO FATHIL ASRI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Gelaran juara Masters KL Malaysia Super100 2023 yang cukup bermakna buat pemain beregu campuran berpengalaman negara Chan Peng Soon apabila mengumumkan hasratnya untuk bersara tahun depan.

Peng Soon yang bergandingan bersama Cheah Yee See mengumumkan perkara itu selepas meraih gelaran pertama mereka musim ini dengan menewaskan pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong 21-9, 17-21, 21-10 dalam tempoh 62 minit pada aksi di Stadium Titiwangsa.

Peng Soon yang diletakkan sebagai pilih pertama itu mengakui biarpun hanya bertaraf Super100 ia tetap istimewa kerana menjuarainya di laman sendiri.

"Memang dalam perancangan saya untuk bersara tahun depan tapi sekarang saya akan berusaha keras dulu.

"Saya akan terus beraksi sehingga April atau Mei dan mungkin sehingga tamatnya tempoh kelayakan Olimpik nanti.

"Jadi bagi saya dan Yee See, saya sangat sangat bangga dapat menang gelaran ini," katanya yang kali terakhir bergelar juara bersama Yee See adalah pada 2017 di Terbuka Rusia.

Kejayaan juara, Peng Soon-Yee See membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$7,900 (RM37,350) manakala-Pakkapon-Phataimas meraih AS$3,800 (RM17,966).

Ditanya mengenai peluang mereka untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, Peng Soon mengakui ia sangat sukar melihat kepada kedudukan ranking ketika ini.

"Saya dan Yee See memang kami tidak fikir jauh sebab sangat susah untuk layak ke Olimpik.

"Jadi kami tak nak terlalu fikirkan mengenai perkara itu dan cuba untuk beri yang terbaik dalam setiap perlawanan yang disertai dan 'enjoy' setiap permainan. Menang atau kalah itu lain cerita.

"Lagi pula, saya bukan muda lagi. Tiap hari bila bangun tidur kalau sesi latihan yang berat badan akan rasa sakit jadi kena pandai uruskan diri," katanya.

Peng Soon mula menempa nama dalam acara beregu campuran bersama pasangannya sebelum ini Goh Liu Ying yang menyaksikan mereka meraih pelbagai kejuaraan termasuklah memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 3:51 PM