ZII Jia kini menduduki ranking ke-13 dunia. FOTO ARKIB NSTP
ZII Jia kini menduduki ranking ke-13 dunia. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun mengejutkan pilihan kelima dari Indonesia, Jonatan Christie di pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia, semalam, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui bukan mudah untuk bangkit semula selepas aksi buruk sebelum ini.

Pemain kelahiran Kedah itu mengakui banyak melalui situasi naik dan turun sebelum ini, namun ia adalah sebahagian daripada proses dalam perjalanan kariernya.

"Bagaimanapun, agak mencabar apabila anda berada dalam proses itu dan saya rasa ia mengambil masa beberapa kali. Saya tidak tahu sudah berapa kali melaluinya," kata Zii Jia yang akan berdepan pemain Kanada, Brian Yang di pusingan kedua, esok.

Ujarnya, apa yang dilakukannya sekarang adalah terus berusaha kerana hanya itu sahajalah kunci kepada kejayaan.

"Kita sudah ada juara pertama (Kejohanan Dunia) dalam acara beregu, sekarang ramai tertumpu kepada siapa bakal menjadi juara pertama kejohanan ini bagi saingan perseorangan.

"Sudah tentu saya terlampau inginkannya (kejuaraan dunia), namun saya harus tenangkan diri. Fokus satu demi satu perlawanan," kata Zii Jia yang melakar kemenangan straight set 21-13, 21-15 ke atas Jonatan pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Royal Arena, semalam.

Berdasarkan rekod pertemuan dengan Brian, Zii Jia yang juga pemain ranking ke-13 dunia, dijangka tidak berdepan masalah untuk meneruskan penguasaan selepas tiga aksi terdahulu menyebelahinya.

Jika mencatat kemenangan, Zii Jia bakal berdepan dengan pemenang di antara rakan senegara, Ng Tze Yong atau pilihan ke-12 dari Denmark, Anders Antonsen.

Tze Yong mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan pemenang pingat gangsa tahun lalu dari China, Zhao Jun Peng 21-19, 26-24.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 11:57 AM