Kuala Lumpur: Pengembaraan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong di dua kejohanan di laman sendiri dalam tempoh dua minggu berakhir semalam selepas tumpas di pusingan kedua Masters Malaysia.
Walaupun tanpa beberapa nama besar seperti Lee Zii Jia, Viktor Axelsen dan terbaru Kento Momota selepas tersingkir di pusingan kedua semalam, hasrat untuk melihat Tze Yong beraksi sekurang-kurangnya di pentas suku akhir tidak kesampaian.
Selepas menjadi satu-satunya perseorangan lelaki negara mara ke pusingan kedua, akhirnya Tze Yong turut terkulai apabila kalah kepada pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien Chen 18-21, 16-21.
"Saya rasa secara keseluruhan semuanya masih okay. Bagaimanapun, banyak benda perlu saya pelajari," kata pemain berusia 22 tahun kelahiran Johor itu.
Selaku pemain perseorangan lelaki nombor satu dalam kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tze Yong mengakui dia masih mempunyai kekurangan dari segi fizikal dan stamina.
"Cuma selepas Masters Malaysia ini saya rasa ada lebih keyakinan terutama untuk menghadapi Sukan Komanwel. Saya akan cuba yang terbaik di temasya berkenaan.
"Hari ini (semalam) juga dapat lihat jurang saya masih jauh (dengan Tien Chen). Saya masih mempunyai banyak perbezaan," katanya yang terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lalu.
Ketiadaan Zii Jia menyaksikan tumpuan kini terarah kepada Tze Yong untuk menghadirkan keputusan cemerlang walaupun dia tidak disasarkan memenangi pingat di Birmingham nanti.
"Saya tidak fikir mengenai pingat, hanya mahu memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata pemain yang menduduki ranking ke-48 dunia itu.
Bayangan positif mula dijelmakan Tze Yong berdasarkan prestasinya ketika menewaskan pemain nombor 31 dunia dari Kanada, Brian Yang di pusingan pertama Masters Malaysia walaupun semalam tunduk di tangan Tien Chen.
Ia sekali gus memberikan harapan kepada kontinjen negara bahawa kejutan mampu dijelmakan Tze Yong dengan sekurang-kurangnya menaiki podium dalam acara perseorangan lelaki di Birmingham bermula 3 Julai nanti.
Skuad badminton negara meraih dua pingat emas menerusi Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo selain satu perak dan dua gangsa pada edisi Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.