TZE Yong mara ke pusingan kedua. FOTO AFP
TZE Yong mara ke pusingan kedua. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong melakar kejutan di pusingan pertama Terbuka China selepas mengetepikan ranking keenam dunia dari India, HS Prannoy hari ini.

Tze Yong yang berada di ranking ke-22 dunia bagaimanapun terpaksa bekerja keras apabila bertarung selama tiga set sebelum mencatat kemenangan 21-12, 13-21, 21-18 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.

Selepas mengetepikan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia Copenhagen 2023 itu, Tze Yong akan menentang Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia di pusingan kedua.

Shesar mara selepas menewaskan lawan dari India, Priyanshu Rajawat 21-13, 26-24 dalam tempoh 41 minit.

Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan sepelatih, Goh Soon Huat-Shevon Lai 25-23, 21-15.

Kian Meng-Pei Jing dijadual bertemu pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti yang membuat kejutan menewaskan beregu ketujuh dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-16, 12-21, 21-16.

Turut melangkah ke pusingan kedua adalah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menewaskan Debora Jille-Cheryl Seinen 17-21, 21-17, 21-10.

Terbuka China kembali diadakan tahun ini selepas ditangguh akibat pandemik Covid-19 dari 2020 hingga 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 4:02 PM