ANNA (kiri) dan Mei Xing lakar kejutan di pusingan pertama Terbuka Switzerland. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
ANNA (kiri) dan Mei Xing lakar kejutan di pusingan pertama Terbuka Switzerland. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing melakar kejutan di pusingan pertama Terbuka Switzerland selepas mereka berjaya menumpaskan pilihan keempat dari Denmark, Maiken Fruergaard-Sara Thygesen.

Walaupun tumpas di set pertama, juara saingan Antarabangsa Syed Modi itu berjaya melakukan kebangkitan untuk mencatat kemenangan 19-21, 21-11, 21-11 dalam aksi yang berlangsung selama satu jam tiga minit.

Mereka yang juga gandingan nombor 80 dunia akan berdepan pasangan Belanda, Debora Jille-Cheryl Seinen di pusingan kedua.

"Kami sangat gembira dan seakan tidak percaya memenangi perlawanan ini kerana ranking kami sangat jauh berbanding mereka (16 dunia).

"Kami lihat mereka sangat keletihan dan kami bertahan semaksima yang mungkin. Mereka juga sedikit kelam-kabut dan akhirnya kami berjaya mencatat kemenangan.

"Selepas ini kami akan berdepan pasangan Belanda dan pernah mencatat kemenangan ke atas mereka dan harap kami lebih sabar untuk fokus mengutip mata demi mata," kata Mei Xing.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Fabian Roth dari Jerman selepas menang straight set 21-16, 21-15.

Bagaimanapun, Tze Yong bakal berdepan kesukaran di pusingan kedua apabila akan menentang pilihan keempat dari Indonesia, Jonatan Christie.

Turut menepati ramalan layak ke pusingan kedua ialah pilihan kelapan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berjaya mengalahkan gandingan Denmark, Emil Lauritzen-Mads Vestergaard 21-9, 21-13.

Mereka akan berdepan satu lagi pasangan daripada negara Scandinavia iaitu Jeppe Bay-Lasse Molhede.

Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona turut mara ke pusingan kedua selepas tidak berdepan masalah menumpaskan lawan dari Switzerland, Nadia Fankhauser 21-13, 21-11.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 10:19 PM