LIU Ying (kiri) mengakui mereka tiada pilihan lain selain bermain bermati-matian di Terbuka Indonesia selepas ini. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
LIU Ying (kiri) mengakui mereka tiada pilihan lain selain bermain bermati-matian di Terbuka Indonesia selepas ini. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tewas pada pusingan pertama Masters Indonesia kelmarin menyebabkan beregu campuran profesional Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bakal berdepan laluan berliku untuk menempah tiket ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali bulan depan.

Hal ini kerana pemenang pingat perak Olimpik Rio 2012 itu wajib memperoleh keputusan terbaik dalam saingan Terbuka Indonesia minggu depan iaitu kejohanan terakhir dalam kalendar Jelajah Dunia untuk memastikan mereka kekal dalam kelompok lapan teratas.

Berdasarkan kedudukan terkini, Peng Soon-Liu Ying di tangga kelapan ranking Jelajah Dunia dengan tempat mereka itu dijangka digugat dua lagi pencabar terdekat iaitu Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia yang berada di posisi kesembilan dan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie ke-10.

Hanya lapan pasangan teratas ranking Jelajah Dunia layak beraksi di kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.2 juta) itu yang akan berlangsung 1 hingga 5 Disember ini.

Liu Ying berkata, dia tiada pilihan selain bermain bermati-matian untuk memperoleh keputusan positif sekali gus berjaya berada dalam kelompok atau ranking terbaik.

"Sebenarnya, kalau kami dapat mara ke pusingan kedua dalam dua kejohanan (Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia) sudah memadai untuk kami menjamin tempat beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir.

"Namun, disebabkan kami tewas pusingan Masters Indonesia, mata untuk kami sangat sedikit dan berdepan sedikit risiko untuk layak. Jadi, kami perlu mempamerkan prestasi yang lebih baik di Terbuka Indonesia untuk menghasilkan keputusan terbaik sekali gus boleh layak," katanya.

Terdahulu, pasangan beregu campuran itu terpaksa akur tewas di tangan pasangan Jerman, Jones Ralfy Jansen-Linda Efler 13-21, 19-21 pada pusingan pertama Masters Indonesia kelmarin.

Kekalahan di pusingan pertama semalam adalah yang ketiga dialami Peng Soon-Liu Ying selepas turut terkandas awal ketika saingan Terbuka Denmark bulan lalu dan Terbuka Perancis, awal bulan ini.

Selain itu, Liu Ying berkata, dia dan pasangannya perlu mengubah strategi dengan menampilkan corak permainan berbeza pada perlawanan akan datang.

"Memang kami tidak berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan pada perlawanan itu kerana kami tidak berada pada prestasi terbaik. Keadaan sangat berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan di Eropah sebelum ini.

"Kami sehingga terpaksa mengubah taktikal untuk sesuaikan dengan keadaan. Kami ada banyak peluang untuk kutip mata tetapi ia disia-siakan sehingga memberi peluang kepada pemain lawan mendapatkan mata demi mata. Memang permainan kami agak lemah hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 8:31 PM