LIU YING (kanan) dan Peng Soon mahu kekal prestasi dan kedudukan ranking dunia.
LIU YING (kanan) dan Peng Soon mahu kekal prestasi dan kedudukan ranking dunia.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Sebaik bermulanya kalendar 2017 esok, pasangan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak perlu menoleh ke belakang lagi untuk mengingati kenangan manis serta pahit tahun lalu, sebaliknya mereka harus melihat ke depan dengan meletakkan sasaran memburu kejayaan pada Kejohanan Dunia di Glasgow.

Liu Ying sendiri mengakui apabila menganggap tahun depan sama penting seperti 2016 walaupun tidak mempunyai sebarang temasya besar, tetapi berdepan satu kejohanan yang ingin disertai semua pemain badminton terbaik dunia.

“Kejohanan Dunia itu saja sasaran awal kami untuk 2017. Kami harus mengekalkan prestasi dan kedudukan ranking supaya mampu melayakkan diri serta meraih kejayaan pada kejohanan itu,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelasnya, satu lagi perkara penting yang perlu dilakukan tahun depan adalah seboleh-bolehnya mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan serius.

Setakat ini Peng Soon-Liu Ying sudah berakhir empat kali pada Kejohanan Dunia. Pada 2010 dan 2012 mereka terkandas pada pusingan kedua manakala 2011 dan 2015 mereka layak ke pusingan ketiga.

“Saya akan melakukan suntikan lagi di bahagian lutut. Memang ada sedikit kecederaan, tapi ia tidak menghalang kami untuk memulakan musim dengan mempamerkan aksi cemerlang pada Masters Malaysia (17 hingga 22 Januari),” kata pemain dari Melaka itu.

Peng Soon-Liu Ying yang kini menduduki ranking keenam dunia, diletakkan sebagai pilihan utama pada Masters Malaysia di Sibu dan akan memulakan aksi bertemu pasangan Indonesia, Yehezkiel Fritz Mainaky-Lyanny Alessandra Mainaky.

Kejohanan di Stadium Tertutup Sibu itu menyaksikan satu lagi pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing diletakkan sebagai pilihan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:11 AM