PENG Soon dan Liu Ying mahu membuat persiapan terbaik bagi mengharungi kejohanan akhir musim itu.
PENG Soon dan Liu Ying mahu membuat persiapan terbaik bagi mengharungi kejohanan akhir musim itu.
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mahu menebus kegagalan tersingkir di pusingan awal dalam dua kejohanan terakhir disertai pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China bulan depan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila tersingkir di pusingan kedua Terbuka China sebelum ditunjukkan jalan keluar pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong, minggu lalu.

Bagaimanapun, Peng Soon-Liu Ying yang sudah pun mengesahkan slot ke Guangzhou biarpun ranking jelajah hanya ditutup pada 3 Disember ini, enggan terus dihantui kegagalan itu.

Sebaliknya, mereka mahu memastikan membuat persiapan terbaik bagi mengharungi kejohanan akhir musim berkenaan.

“Sudah pasti kami kecewa dengan kekalahan di pusingan awal dalam dua kejohanan berkenaan terutama di Hong Kong yang menyaksikan kami tewas pada pusingan pertama.

“Tidak banyak yang saya boleh katakan mengenai kegagalan itu, ia membuktikan kami belum cukup bagus lagi. Diharapkan, kami dapat kembali menemui rentak permainan sebenar kami.

“Kami perlu fokus untuk persiapan bagi menghadapi kejohanan di Guangzhou,” kata Liu Ying ketika dihubungi selepas aksi di Terbuka Hong Kong.

Peng Soon-Liu Ying mengesahkan slot ke Guangzhou selepas menduduki tangga keempat ranking jelajah dunia dengan kedudukan mereka tidak boleh digugat sehingga kelayakan berakhir 3 Disember ini.

Ini adalah kali ketiga juara naib juara Seluruh England 2017 itu layak beraksi pada saingan Jelajah Akhir Dunia BWF yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.28 juta) itu selepas edisi 2012 dan 2013.

Pada edisi 2012 di Shenzhen, Peng Soon-Liu Ying gagal melepasi peringkat kumpulan tetapi mara sehingga separuh akhir pada edisi 2013 di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 5:47 PM