Aksi beregu campuran negara, Goh Liu Ying (kiri) dan Chan Peng Soon di Jelajah Dunia Akhir BWF. FOTO EPA
Aksi beregu campuran negara, Goh Liu Ying (kiri) dan Chan Peng Soon di Jelajah Dunia Akhir BWF. FOTO EPA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Laluan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk mara ke final disekat oleh pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanach di Jelajah Dunia Akhir BWF, hari ini.

Pada aksi separuh akhir di Bali, Indonesia itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Peng Soon-Liu Ying tewas 8-21, 18-21 dalam tempoh 42 minit.

Kekalahan itu secara tidak langsung membenarkan pasangan Thailand yang menduduki ranking kedua dunia untuk merapatkan jurang tujuh pertemuan antara mereka kepada tiga kemenangan.

Ia juga adalah kekalahan ketiga berturut-turut Peng Soon-Liu Ying kepada Puavarankukroh-Taerattanachai selepas tewas 18-21, 17-21 di suku akhir Terbuka Thailand 2021, Januari lalu.

Sebelum itu, Peng Soon-Liu Ying tewas 16-21, 26-28 dalam pusingan kedua Kumpulan A Final Jelajah Dunia 2019 yang berlangsung di Guangzhou, China.

Kali terakhir pasangan profesional negara itu meraih kemenangan ke atas beregu Thailand terbabit adalah di final Master Thailand 2019 dengan keputusan 21-16, 21-15.

Puavaranukroh-Taerattanachai dijadual bertemu Yuta Watanabe-Arisa Higashino pada aksi final esok selepas menewaskan Tang Chung Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong 19-21, 21-9, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 7:21 PM