Peng Soon (kanan) dan Liu Ying pada aksi menentang Zheng Siwei dan Huang Yaqiong dari China. FOTO EPA-EFE
Peng Soon (kanan) dan Liu Ying pada aksi menentang Zheng Siwei dan Huang Yaqiong dari China. FOTO EPA-EFE
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuktikan sentuhan mereka belum ‘berkarat’ apabila mengesahkan tempat ke final Terbuka Indonesia buat kali pertama sepanjang kerjaya mereka.

Kejayaan itu hadir selepas menumbangkan pasangan nombor dua dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong 21-18, 21-16 dalam aksi separuh akhir di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.

Semalam, pasangan ke-15 dunia itu turut cemerlang apabila menyingkirkan beregu nombor satu dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Donging 21-19, 21-14 dalam aksi suku akhir.

Aksi final esok bakal menyaksikan Peng Soon-Liu Ying bertemu pasangan tuan rumah, Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir yang mara selepas menewaskan rakan senegara, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 21-18, 21-8 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Menariknya, pertembungan Peng Soon-Liu Ying dengan Tontowi-Liliyana akan menjadi aksi ulangan final Olimpik Rio 2016 yang juga pertembungan terakhir kedua-dua pasangan berkenaan.

Ketika itu, Peng Soon-Liu Ying terpaksa akur apabila meraih perak.

Kali ini, situasi pasti lebih berbeza dengan Tontowi-Liliyana akan mendapat sokongan padu ribuan penonton tuan rumah yang dijangka membanjiri stadium tetapi Peng Soon-Liu Ying menegaskan mereka tidak gentar dan berjanji akan melakukan yang terbaik.

“Saya sedar kelebihan memihak kepada Tontowi-Liliyana kerana mereka akan mendapat sokongan padu daripada penonton di sini. Kami bukan saja menentang Tontowi-Liliyana esok tetapi kami juga menentang sorakan peminat mereka, jadi kami akan buat persiapan terbaik dari aspek mental dan fizikal.

“Apa yang kami lalui (menang ke atas dua beregu utama dunia) untuk ke final akan menjadi motivasi buat kami bagi menghadapi aksi final esok. Diharapkan kami mampu meneruskan rentak kami dalam kejohanan ini,” kaa Liu Ying selepas tamat aksi separuh akhir.

Sementara itu, jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui lebih gemar menganggap anak didiknya sebagai bukan pilihan berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasangan sebelum ini yang mana Tontowi-Liliyana menang sembilan daripada 10 perlawanan.

“Peng Soon-Liu Ying tidak akan rugi apa-apa kerana kelebihan memihak kepada Tontowi-Liliyana berdasarkan rekod pertemuan. Lagipun, menentang wakil Indonesia di depan penyokong mereka sendiri bukan sesuatu yang mudah.

“Namun, kami tetap akan buat persiapan terbaik dan cuba lakar kejutan,” kata Eei Hui.

Jika  muncul juara, esok, ia akan menjadi gelaran ketiga buat Peng Soon-Liu Ying tahun ini selepas turut merangkul kejuaraan Masters Thailand dan Terbuka Amerika Syarikat tetapi yang pertama untuk kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 - kejohanan terbuka paling berprestij dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mereka juga akan mencipta sejarah sebagai beregu campuran pertama Malaysia menjuarai Terbuka Indonesia sejak kejohanan diperkenalkan pada 1982.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 8:56 PM