Aryna Sabalenka. FOTO Agensi
Aryna Sabalenka. FOTO Agensi
AFP

Prague: Aryna Sabalenka bangkit daripada ketinggalan 2-5 di set ketiga untuk mengatasi pemain remaja Amerika Syarikat, Coco Gauff seterusnya mara ke suku akhir Kejohanan Tenis WTA Terbuka Ostrava, awal pagi ini.

Pemain ranking nombor 12 dunia dan mempunyai kekuatan pukulan itu mengambil masa dua jam dan 13 minit untuk menewaskan pemain ranking ke-55, Coco, 1-6, 7-5, 7-6 (7/2).

Pemain pilihan ketiga dari Belarus memulakan permainan agak perlahan berdepan saingan kental Coco yang berdepan beberapa masalah pada set pertama.

Aryna memenangi set kedua 7-5 selepas berjaya mengatasi pukulan servis Coco buat pertama kali, namun kemudian dia kembali melakukan beberapa kesilapan yang menyaksikan pemain berusia 16 tahun bangkit 5-2 dalam set penentuan.

Pukulan tepat ketika membalas servis lawan kembali membantu Aryna mengatasi tekanan sebelum berjaya memperoleh kemenangan pada set penentuan yang berlangsung sengit.

"Selepas kedudukan 5-2 pada set ketiga saya langsung tidak mempedulikan segalanya mengenai keputusan itu," kata Aryna, yang pernah tewas tiga set dalam perlawanan berdepan Gauff di Lexington pada Ogos lalu.

"Saya hanya terus berkata kepada diri sendiri, tumpu pada mata ini, tumpu pada bola ini dan saya berterusan mengatakannya sehingga tamat dan ia membantu saya untuk berada pada detik ini dan tidak mempedulikan perkara lain."

"Dia seorang pemain hebat, gerakannya sangat bagus dan ia perlawanan sukar buat saya," tambah Aryna, yang akan berdepan pemain kelayakan dari Sepanyol, Sara Sorribes Tormo pada suku akhir.

Sementara itu, pemain pilihan kedua kejohanan, Karolina Pliskova tersingkir kepada pemain kelayakan dari Russia, Veronika Kudermetova dalam aksi tiga set.

Veronika pemain di ranking 47 mengatasi pemain nombor enam dunia dari Czech itu, 4-6, 6-4, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 9:24 AM