COCO berjaya mara ke separuh akhir di Eastbourne. FOTO AFP
COCO berjaya mara ke separuh akhir di Eastbourne. FOTO AFP
AFP

Eastbourne: Coco Gauff memastikan kemenangan pertama ke atas pemain 10 terbaik dunia dalam tempoh 10 bulan dengan menewaskan pasangan beregunya, Jessica Pegula 6-3, 6-3 pada suku akhir saingan Antarabangsa Eastbourne.

Pemain Amerika Syarikat berusia 19 tahun itu memenangi enam permainan terakhir untuk bangkit daripada ketinggalan 0-3 pada set kedua sebelum menamatkan tujuh kekalahan berturut-turut menentang lawan 10 teratas dunia.

Dia yang menduduki ranking ketujuh dunia akan berdepan rakan senegara, Madison Keys di separuh akhir.

Madison juara 2014 berjaya mara ke separuh akhir saingan gelanggang rumput itu apabila menumpaskan Petra Martic 6-4, 6-1.

Selepas rehat pertukaran gelanggang, Coco bangkit pada permainan keenam.

Pukulan drop shot cantik membolehkan dia mendahului 4-2 dan mengekalkan rentak untuk memimpin perlawanan set pembukaan.

Jessica yang juga pemain nombor empat dunia bangkit pada permulaan set kedua.

Dia mengambil kesempatan di atas kesilapan pukulan forehand Coco untuk mematahkan servis dan tampil dengan pukulan lambung bersahaja bagi mendahului 3-0

Bagaimanapun, Coco mengubah corak permainan dengan menampilkan beberapa pukulan voli untuk menyamakan kedudukan di set berkenaan sebelum meraih kemenangan penuh bergaya.

"Saya sangat gembira dengan cara saya bermain. Saya sudah tahu Jess akan bermain dengan baik, kerana dia adalah salah seorang pemain hebat dalam jelajah disebabkan kelebihan tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 8:04 AM