HAMILTON melompat kegirangan selepas menjuarai perlumbaan GP Abu Dhabi tahun lalu. — FOTO Twitter Mercedes-AMG F1
HAMILTON melompat kegirangan selepas menjuarai perlumbaan GP Abu Dhabi tahun lalu. — FOTO Twitter Mercedes-AMG F1
AFP

LEWIS Hamilton menyasarkan kemenangan dengan persembahan diingati pada perlumbaan penamat musim Grand Prix Abu Dhabi hujung minggu ini yang juga penampilan ke-250 pemandu Britain itu dalam Formula Satu.

Ketika Mercedes mahu bangkit daripada persembahan hambar di Brazil, juara dunia enam kali itu mengakui dia berdepan saingan generasi baharu sukan itu musim depan.

“Saya berasa masih boleh bersaing dengan pemandu muda jadi saya terlalu teruja dengan masa depan,” kata Hamilton yang berusia 34 tahun.

“Tapi anda sedar betapa pemandu muda sudah mula membuat impak mengagumkan.”

Bercakap selepas menduduki tangga ketiga di Sao Paulo, sebelum dikenakan denda penalti dan merudum ke tangga ketujuh susulan kemalangan dengan pemandu Red Bull, Alex Albon, Hamilton menjelaskan dia masih seronok bersaing di litar dan berharap banyak pasukan mampu memburu kegemilangan musim depan.

“Ia pasti hebat buat Formula Satu,” katanya.

Hamilton menang dari petak utama tahun lalu dan menikmati empat petak utama di litar itu serta empat kemenangan, namun dia mungkin tidak mampu mengekalkan penguasaan sebegitu pada perlumbaan hujung minggu ini.

Mercedes menang lima perlumbaan terakhir GP Abu Dhabi namun menyedari Ferrari dan Red Bull mampu memberikan cabaran sengit pada perlumbaan penamat musim itu, yang bermula di bawah sinar matahari sebelum berakhir di bawah cahaya lampu limpah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 2:24 PM