RICCIARDO meraikan kemenangan pada Grand Prix Monaco, hari ini. FOTO Reuters
RICCIARDO meraikan kemenangan pada Grand Prix Monaco, hari ini. FOTO Reuters
Reuters

DANIEL Ricciardo mengimbau kembali kenangan legenda Formula Satu Michael Schumacher ketika di zaman kegemilangannya, hari ini apabila pemandu Red Bull dari Australia itu memenangi Grand Prix Monaco pada perlumbaan ke-250 pasukan .

Mencatat kemenangan dari petak utama buat pertama kali dalam kariernya, Ricciardo mengharungi hampir dua pertiga perlumbaan dengan kereta kurang berkuasa selepas mengalami masalah di pusingan ke-28.

Pemandu Ferrari Sebastian Vettel, pemenang tahun lalu, di tempat kedua sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu Lewis Hamilton kepada 14 mata selepas enam daripada keseluruhan 21 perlumbaan.

Hamilton, penyandang kejuaraan dunia, di tempat ketiga dengan jentera Mercedes.

“Anda melakukan tugas dengan cemerlang,” kata bos pasukan Christian Horner selepas Ricciardo melintasi garisan penamat 7.3 saat di depan Vettel.

“Ini apa yang Schumacher pernah lakukan... dan ia pembalasan untuk 2016.”

Satu-satunya petak utama Ricciardo sebelum ini ialah di Monaco dua tahun lalu, di mana dia tewas kepada Hamilton akibat strategi perlumbaan dan sekadar berada di tempat kedua.

Kali ini Ricciardo bermula baik dan mengawal perlumbaan dan kelihatan seakan meraih kemenangan mudah. Namun, keretanya mengalami kehilangan kuasa seperti yang dilaporkan menerusi radio pasukan.

“Ok kawan, kami dapat lihat apa yang berlaku,” kata jurutera perlumbaan Red Bull. “Anda hanya perlu mengekalkan kelancaran, kekal fokus.”

“Adakah ia akan lebih baik?” soal Ricciardo. 

“Negatif,” jawab jurutera berkenaan.

Dengan kuasa yang berkurangan dan Vettel mengekori rapat di belakang, Ricciardo memandu penuh berhati-hati dan konsisten di litar yang memang sukar untuk memotong sehingga tayar pesaingnya semakin kurang cengkaman.

“Menakjubkan, saya tidak tahu bagaimana anda melakukannya Daniel,” kata jurutera Simon Rennie.

“Kami berdepan masalah. Kami perlu menanganinya ketika perlumbaan. Saya terasa kereta kehilangan kuasa dan saya fikir perlumbaan sudah berakhir buat saya. Saya menamatkannya dengan hanya menggunakan enam gear,” kata Ricciardo selepas perlumbaan. - REUTERS

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 12:51 AM