Sao Paulo: Mercedes sudah bergelar juara kategori pengeluar perlumbaan Formula Satu selepas mendominasi saingan musim ini. Minggu depan, mereka akan turut bergelar juara kategori pelumba.

Mercedes sudah pasti menguasai kategori pelumba musim ini dan aksi di Abu Dhabi hanyalah sebagai pelengkap jadual, terima kasih kepada Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.

Kemenangan diraih salah seorang pemandu itu akan menambah koleksi kejayaan buat pasukan.

Sepanjang musim ini, Mercedes sudah mencatat rekod sebagai pasukan paling banyak memenangi kedudukan 1-2, mengatasi catatan McLaren pada 1988 selain mendaki podium lebih banyak berbanding catatan Ferrari pada 2004.

“Angka seperti 11 kemenangan 1-2, 15 kemenangan keseluruhan dan 30 catatan podium semusim membuatkan saya bangga dengan semua kakitangan kami. Ia kejayaan semua,” kata ketua pasukan Mercedes Toto Wolff.

Rekod itu cuma setakat aksi di Grand Prix Brazil dan kehebatan kedua-dua pemandu membuatkan pelumba lain hanya boleh bersaing untuk merebut tangga ketiga.

Ketika aksi di Abu Dhabi pada 23 November, ada lagi rekod yang bakal dipecahkan.

Mercedes boleh menyamai catatan 18 permulaan di petak utama seperti dilakukan Red Bull pada 2011.

“Memang menakjubkan,” kata Hamilton. “Kami sudah memecahkan beberapa rekod dan pasukan ini sangat gembira. Ini jentera terbaik pernah saya pandu dan saya berterima kasih kepada semua yang terbabit menghasilkannya.”

Hamilton mencatat 11 kemenangan musim ini dan mendahului Rosberg dengan kelebihan 17 mata. Masih terdapat 50 mata boleh direbut di Abu Dhabi kerana ia menawarkan mata berganda.

Hamilton bakal dinobat juara jika berjaya menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di tempat kedua. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:05 AM