PELUMBA Mercedes, Lewis Hamilton. FOTO Reuters
PELUMBA Mercedes, Lewis Hamilton. FOTO Reuters
AFP

Melbourne: Prestasi kurang memberangsangkan Mercedes dan pengakuan bahawa dia berdepan 'masalah mental dan emosi' meletakkan rekod hebat Lewis Hamilton pada perlumbaan Formula Satu Grand Prix (GP) Australia, hujung minggu ini, dalam ancaman.

Juara dunia tujuh kali dari Britain itu berhasrat berada di posisi petak depan tujuh kali berturut-turut di Melbourne.

Tetapi, Hamilton melalui permulaan suram pada ketika Mercedes ketinggalan di belakang Red Bull dan Ferrari, sehingga tidak mampu mencabar petak utama atau kemenangan di GP Bahrain dan Arab Saudi.

Pengeluar dari Jerman yang pernah digeruni itu kini memiliki masalah jentera mudah melompat pada kelajuan tinggi, selepas melakukan rombakan reka bentuk untuk memenuhi peraturan teknikal bagi mempromosi perlumbaan sengit.

"Sukar untuk kekal positif dalam beberapa hari," kata Hamilton, 37, di Instagram, minggu lalu.

"Saya berdepan masalah mental dan emosi sejak sekian lama untuk terus berusaha dan berjuang. Banyak yang perlu kami lakukan dan capai."

Hamilton, yang kecewa apabila gelaran juara dunia terlepas daripada genggaman pada perlumbaan terakhir di Abu Dhabi, tahun lalu, menyifatkan keretanya sebagai 'tidak boleh dipandu' selepas hanya menduduki tempat ke-16 peringkat kelayakan di Arab Saudi, minggu lalu.

Ia adalah kali pertama sejak terbabit kemalangan di GP Brazil pada 2017 apabila pemandu Britain itu gagal layak selepas sesi kelayakan pertama.

Tidak banyak perubahan berlaku tika perlumbaan apabila sekadar menduduki tempat k-10 dengan satu mata dan ketinggalan 1:13.948 saat di belakang pemenang, juara dunia dan pencabar dari Red Bull, Max Verstappen.

Pada ketika Hamilton menduduki tempat ketiga di Bahrain, ia hanya berlaku apabila kedua-dua pemandu Red Bull - Verstappen dan Sergio Perez - menarik diri di akhir perlumbaan.

Selepas perlumbaan berturut-turut pada permulaan musim, Mercedes ada masa tambahan seminggu untuk memperbetulkan data dan menyelesaikan masalah sebelum ke Albert Park.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 11:41 AM