SKUAD Selangor menentang KL City FC Sabtu ini.
SKUAD Selangor menentang KL City FC Sabtu ini.
Meor Riduwan Meor Ahmad


"BAGI saya tiada istilah pasukan tercorot. Sembilan pasukan bersaing dalam MPFL (Liga Premier Futsal Malaysia 2019 adalah yang terbaik dan memberikan saingan sengit," kata penolong jurulatih futsal Selangor, Ali Mahat mengulas kelebihan pasukannya menjelang perlawanan menentang KL City FC pada Sabtu ini.

Justeru itu, dia mahu pemainnya kekal fokus untuk memastikan tiga mata berharga serta mengukuhkan cengkaman dalam merebut kejuaraan sulung (MPFL) 2019.

"Walaupun KL City FC di kedudukan terakhir kami tidak pandang rendah. Saya mahu pemain berusaha menjaringkan sebanyak mungkin gol jika ada peluang. Mana tahu apabila di akhir nanti kemenangan terpaksa ditentukan dengan jumlah jaringan," katanya dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, Selangor menewaskan KL City FA, 4-1 dalam perlawanan pertama dengan lawan yang dikatakan mengamalkan corak permainan agak 'robust' hanya mengumpul tiga mata hasil tiga seri menerusi 12 perlawanan.

Rekod menunjukkan, KL City FC memberikan saingan sengit kepada pasukan lain termasuk tewas tipis 3-4 kepada Pahang dalam dua perlawanan sebelum ini.

Selangor dijadual bertemu KL City FC pada Sabtu, 31 Ogos diikuti Terengganu (15 September) dan Kedah (28 September).

Sementara itu, mengulas kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur, semalam (Rabu), Ali berkata, ia perlawanan yang sengit menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 di masa pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 8:30 PM