ANTARA individu yang ditahan dalam Op Samba 2.0 bermula 11 hingga 25 Mac lalu.  FOTO Ihsan SPRM
ANTARA individu yang ditahan dalam Op Samba 2.0 bermula 11 hingga 25 Mac lalu. FOTO Ihsan SPRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 34 anggota dan pegawai kastam bersama 27 individu dan pemilik syarikat ditahan menerusi Op Samba 2.0 yang dijalankan bermula 11 hingga 25 Mac lalu.

Operasi itu dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

SPRM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan operasi itu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

Katanya, ia adalah satu kerugian hasil negara yang amat besar dan memberi impak negatif berterusan kepada ekonomi negara sekiranya tidak dibendung.

"Dalam operasi ini, SPRM menahan 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 bersama 27 individu dan pemilik syarikat.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup," katanya.

Susulan penahanan individu terbabit, Bahagian AML SPRM merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

"SPRM juga membekukan sebanyak 231 akaun bank milik individu, syarikat dan 'akaun keldai' berjumlah kira-kira RM18 juta yang terbabit dengan kegiatan sindiket penyeludupan berkenaan.

"Setakat ini, dua pegawai kastam sudah dituduh dan seramai 23 anggota dan pegawai kastam akan didakwa di enam Mahkamah Sesyen berasingan di seluruh negara sehingga 6 Jun nanti.

"Kesemua mereka akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan," katanya.

ANTARA kenderaan mewah yang dirampas dalam operasi itu. FOTO Ihsan SPRM
ANTARA kenderaan mewah yang dirampas dalam operasi itu. FOTO Ihsan SPRM

Sementara itu, SPRM mengesan modus operandi digunakan sindiket dilumpuhkan dalam Op Samba adalah melalui 'forwarding agent' yang bertindak sebagai orang tengah bagi membayar rasuah kepada penguatkuasa.

Menurut sumber, anggota pegawai kastam yang bertugas dalam pemeriksaan kargo diberi sogokan sebagai balasan melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan sepatutnya.

Katanya, sindiket itu dipercayai melakukan perbuatan penyeludupan dan merasuah pegawai agensi penguatkuasa berkenaan sejak 2017 hingga 2024.

"Hasil siasatan menunjukkan pegawai-pegawai itu sudah menerima rasuah kira-kira RM4.7 juta daripada sindiket melalui akaun keldai untuk mengelak transaksi kewangan berkenaan dikesan.

"Sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan 'syarikat hantu', pengurup wang, kegiatan judi dalam talian dan melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

"Sebanyak 19 'syarikat hantu' ditubuhkan dengan menjalankan pelbagai perniagaan aktiviti pengubahan wang haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Menurut sumber juga, tujuh lagi anggota dan pegawai dicadangkan kepada agensi berkenaan untuk dikenakan tindakan tatatertib.

"Pertuduhan sedang dijalankan sepanjang Mei sehingga 6 Jun nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 5:49 PM