GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Polis menerima dua laporan berhubung kes pelajar sekolah yang dipukul selepas dipercayai dipaksa menyertai kumpulan haram di Bandar Sungai Long, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima dua laporan itu secara berasingan pada 16 dan 17 Mei lalu.

"Dalam kejadian pertama jam 12 tengah hari pada 16 Mei lalu, pengadu adalah seorang pelajar sekolah berusia 13 tahun yang ditahan oleh sekumpulan lelaki terdiri daripada pelajar sekolah sama.

"Dia ditahan kerana perselisihan faham mengenai seorang rakannya yang dicari tidak ditemui sebelum mangsa disoal siasat dan dipukul dua suspek daripada kumpulan itu menggunakan kaki tangan serta besi.

"Dalam kejadian ini, pengadu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, laporan polis kedua diterima daripada seorang pelajar sekolah berusia 14 tahun pada 17 Mei lalu.

"Menurut mangsa, semasa sedang makan bersama rakan-rakan di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, dia didatangi sekumpulan lelaki mengajaknya menyertai kumpulan haram (Geng 24).

"Namun, mangsa menolak ajakan itu menyebabkan tiga daripada anggota kumpulan terbabit memukul dia dan rakannya menggunakan kerusi plastik yang berada di dalam restoran sebelum melarikan diri.

"Dalam kejadian ini, pengadu mengalami kecederaan di kepala dan tangan," katanya.

Susulan itu, katanya, pihak polis menahan tujuh lelaki berusia 16 hingga 18 tahun yang disyaki terbabit dalam kedua-kedua kejadian berkenaan pada 17 dan 19 Mei lalu.

"Dua kertas siasatan dibuka secara berasingan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua kejadian terbabit.

"Hasil siasatan lanjut, salah satu kertas siasatan sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwaraya dan mendapat arahan tuduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan ke atas dua suspek.

"Mereka didakwa jam 9 pagi hari ini di Mahkamah Majistret Kajang, manakala satu kes lagi masih dalam siasatan lanjut," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475 dan Inspektor Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan beberapa pelajar sebuah sekolah menengah, di sini, cedera akibat dibelasah sekumpulan samseng menggunakan kerusi plastik kerana menolak ajakan menyertai kumpulan haram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 6:28 PM