Rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki bermotosikal dipercayai seorang lagi suspek yang menunggu berhampiran kenderaan Faisal. TANGKAP layar video viral
Rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki bermotosikal dipercayai seorang lagi suspek yang menunggu berhampiran kenderaan Faisal. TANGKAP layar video viral
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung pihak yang menyebarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian simbah asid terhadap pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 56 saat di laman sosial X @OneFootballM, hari ini.

"Video terbabit adalah bahan bukti yang masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Siasatan sudah dimulakan bagi mengesan pihak yang menyebarkan video rakaman CCTV itu untuk tindakan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video terbabit bagi menghormati dan menjaga sensitiviti mangsa serta keluarga.

"Pihak polis memandang serius mengenai perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video itu.

"Tindakan sedemikian sekali gus mengganggu siasatan pihak polis," katanya.

Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki yang memakai topi dan bahagian muka dilindungi kain dalam keadaan berdiri berada di antara beberapa kenderaan lain.

Lelaki itu kemudian meluru ke arah Faisal dan terus menyimbah cecair daripada botol dipegangnya beberapa kali.

Kejadian itu juga disaksikan beberapa individu berhampiran selain wanita dipercayai isteri Faisal.

Turut dilihat ketika kejadian adalah seorang lelaki bermotosikal dipercayai seorang lagi suspek yang menunggu berhampiran kenderaan Faisal.

Sebelum ini, media melaporkan Bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan itu diserang oleh individu tidak dikenali sehingga badannya mengalami luka teruk selepas disembah asid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 7:00 PM