PEMAIN Selangor MAC gigih jalani latihan. FOTO FB Selangor MAC
PEMAIN Selangor MAC gigih jalani latihan. FOTO FB Selangor MAC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penyandang juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Selangor MAC enggan dibuai kejayaan lampau kerana menyedari cabaran bakal dilalui pada saingan musim ini lebih sengit.

Ketua jurulatih Addy Shairyllyzam Mohd Shafiee berkata, saingan liga yang akan dijalankan secara berpusat susulan pandemik Covid-19 mengakui banyak faktor tidak dapat dijangka bakal berlaku sepanjang liga itu yang dijadual berlangsung pada Jun ini.

Beliau berkata berdasarkan situasi semasa, skuad bimbingannya itu lebih menekankan aspek kecergasan dan fizikal yang menjadi perkara penting dalam sukan futsal, tambahan pula jadual perlawanan mungkin agak padat dengan dua atau tiga perlawanan berlangsung dalam seminggu.

"Kami bukan ada sedikit kelebihan ataupun kekurangan sebab pada saya setiap pasukan mengalami benda sama. Jadi kita harus fokus kepada pasukan kita sebab kita ingin memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain," katanya.

Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa skuad futsal Selangor MAC, pasukan Sukarelawan Subang Jaya dan beberapa orang perseorangan bersama anak-anak dari Pusat Jagaan Baitul Hidayah di Muar Station, Putra Height di sini.

Selepas MPFL dibatalkan tahun lepas susulan pandemik Covid-19, Addy Shairullyzam berkata antara pasukan yang bakal memberikan cabaran sengit ialah Pahang, Terengganu, Selangor TOT United dan Negeri Sembilan, selain tidak memandang rendah kemampuan pasukan Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Aidy Shairullyzam berkata Selangor MAC mengekalkan hampir kesemua pemain sedia ada serta turut menampilkan beberapa muka baharu bagi mempersiapkan pasukan mengharungi aksi liga musim ini.

Antara pemain baharu yang dibawa masuk musim ini Qaiser Heshaam dari KL City, Shah Azman dari KL FA dan Azwan Ismail dari Pahang Rangers.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 2:32 PM