Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (tengah) menunjukkan barangan yang diperoleh selepas berjaya menumpaskan Geng Capang. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (tengah) menunjukkan barangan yang diperoleh selepas berjaya menumpaskan Geng Capang. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Geng Capang yang dipercayai bergiat aktif menjalankan kegiatan pecah bangunan kerajaan dan sekolah di lima daerah di Kedah dan Perak akhirnya berjaya ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua suspek terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita yang berusia antara 17 hingga 41 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di negeri ini dan Perak.

Menurutnya, kesemua mereka yang berasal dari Baling itu disyaki melakukan kegiatan itu sejak awal tahun ini.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan mensasarkan bangunan kerajaan dan sekolah dengan cara memotong pagar di kawasan belakang terus masuk ke pejabat pentadbiran dengan menggunakan kenderaan sebagai pengangkutan sewaktu melakukan jenayah.

"Mereka disyaki menjadikan pejabat kerajaan serta sekolah sebagai sasaran kerana menganggap lokasi itu sebagai sasaran mudah.

"Ini disebabkan kedua-dua lokasi bangunan kerajaan itu pada awal pagi sudah tentu tidak berpenghuni dan dalam keadaan pengawal kebanyakannya berada di depan, mereka masuk melalui bahagian belakang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Fisol berkata, kebanyakan mereka yang ditahan itu disyaki mempunyai hubungan saudara.

Katanya, dengan tertumpasnya kumpulan ini, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah berjaya menyelesaikan sebanyak 25 kes pecah bangunan kerajaan dan sekolah di lima daerah di negeri ini dan dua kes di negeri Perak.

"Hasil semakan mendapati, mereka turut mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah serta pesalah berulang.

"Malah, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lapan daripada mereka yang ditahan itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Fisol berkata, berdasarkan statistik sepanjang tempoh sejak Januari lalu hingga awal Mei, didapati sebanyak 22 sekolah dan 11 bangunan kerajaan di lima daerah dalam Kontinjen Kedah dilaporkan dipecah masuk dan barang milik kerajaan seperti komputer riba dicuri.

Beliau berkata, pihaknya berjaya merampas tiga kereta iaitu Honda Civic, Proton Satria & Proton Wira, 20 telefon bimbit, enam tablet, tiga kamera, dan 10 beg sandang.

"Turut dirampas, pelbagai peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah itu.

"Kesemua tangkapan masih dalam tempoh tahanan reman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan," katanya

Fisol berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun, atau sebatan untuk kesalahan kali kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 5:19 PM