AKSI PJ City menentang JDT pada perlawanan lalu. FOTO: Aswadi Alias
AKSI PJ City menentang JDT pada perlawanan lalu. FOTO: Aswadi Alias
Syazwan Msar


PERLAWANAN peringkat kumpulan B membabitkan PKNP menentang PJ City terpaksa ditunda sekali lagi pada 22 September depan berikutan sebahagian besar pemain dan pegawai kelab berkenaan masih lagi dalam tempoh kuarantin akibat wabak Influenza B.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataannya memaklumkan permohonan PJ City untuk menangguh perlawanan terbabit disokong dengan surat arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Manjung.

Sehubungan itu, perlawanan keenam Kumpulan B di antara PKNP dengan PJ City yang dijadual berlangsung pada hari ini (20 September) terpaksa ditunda pada Ahad (22 September).

Penundaan perlawanan penentuan satu slot ke suku akhir Piala Malaysia itu juga turut menyebabkan tarikh aksi timbal balik suku akhir menentang Kedah terpaksa ditunda.

Perlawanan suku akhir pertama yang menemukan pemenang di antara PKNP dan PJ City dengan Kedah pada asalnya dijadual pada Selasa ini (24 September) dipinda pada Rabu (25 September).

Manakala aksi suku akhir kedua pada Sabtu (28 September) dipinda pada Ahad (29 September).

Sementara itu, Ketua Jurulatih PJ City K Devan berterima kasih kepada MFL kerana memahami situasi buruk yang menimpa anak buahnya.

“Tempoh 48 jam ini sekurang-kurangnya berikan kami sedikit lagi masa untuk beberapa pemain cuba pulih sepenuhnya bagi berdepan dengan PKNP,” katanya.

Sementara itu, Kedah yang muncul juara Kumpulan A dan hanya menanti pemenang perlawanan terakhir Kumpulan B itu turut akur dengan keputusan MFL atas dasar semangat kesukanan yang tinggi.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Shahrul Samsudin berkata, mereka tiada masalah berkaitan perkara terbabit dan memahami situasi yang melanda pasukan PJ City.

“Kami memahami kesulitan yang dihadapi MFL dalam memastikan kepentingan semua pihak terjaga selain sedar situasi yang boleh dianggap sebagai luar jangka.

“Walaupun ada menjejaskan sedikit perancangan pasukan kerana penundaan ini namun saya rasa tarikh ini masih boleh dipertimbangkan buat kami dalam hadapi aksi suku akhir,” katanya.

Pemain JDT, Diogo Luis Santo (kanan) berebut bola dengan pemain PKNP FC, Amani Santos Aguinaldo ketika perlawanan peringkat Kumpulan B Piala Malaysia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:06 PM