PEMAIN import Pahang Rangers, Amin Nasrollah Zadeh menerima dua kad kuning dan tidak dapat beraksi pada perlawanan akhir kedua MPFL. FOTO Mohd Rafi Mamat
PEMAIN import Pahang Rangers, Amin Nasrollah Zadeh menerima dua kad kuning dan tidak dapat beraksi pada perlawanan akhir kedua MPFL. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Pahang Rangers tidak dapat menggunakan khidmat dua pemain utama mereka, Mahadir Harahap Khairuddin dan Amin Nasrollah Zadeh pada saingan final kedua Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 Isnin ini.

Dua pemain terbabit memenuhi hukuman penggantungan selepas mengumpul dua kad kuning dan terakhir pada pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan akhir pertama MPFL di Stadium Tertutup SUKPA, Sabtu lalu.

Jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas berkata, dia tidak terlalu cemas apabila kehilangan dua tonggak utama berkenaan kerana pemain gantian yang ada tidak kurang hebatnya dan mampu mengisi kekosongan terbabit.

Menurutnya, tidak dinafikan dua pemain (Mahadir Harahap dan Amin Nasrollah) yang tidak dapat beraksi mempunyai rekod jaringan menarik, apabila masing-masing kini menyumbang tujuh dan sepuluh gol musim ini.

"Saya berpendapat semua pemain Pahang Rangers memiliki kehebatan dan kelebihan tersendiri, kemampuan menghasilkan gol dapat mereka dilakukan sekiranya mendapat peluang yang terhidang.

"Pada pertemuan akhir kedua MPFL nanti, saya yakin pemain Pahang Rangers yang diturunkan akan memikul tugas dengan sebaik mungkin dalam memastikan impian membawa pulang Piala Liga MPFL musim ini menjadi kenyataan.

"Bagaimanapun, saya mengingatkan pemain supaya mereka tidak terlalu yakin, berbekalkan kelebihan empat gol masih belum selamat kerana tuan rumah pasti akan memberi tentangan yang sengit," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan Pahang Rangers kini berada diambang kejuaraan liga, hanya 40 minit sahaja lagi yang akan menjadi penentu pasukan mana yang layak bergelar juara MPFL ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 2:39 PM