LAKARAN fotofit wajah suspek menyimbah asid ke atas Faisal yang didedahkan PDRM. FOTO Ihsan PDRM
LAKARAN fotofit wajah suspek menyimbah asid ke atas Faisal yang didedahkan PDRM. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, belum ada mana-mana individu tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan kes simbah asid membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Halim pada 5 Mei lalu, berdasarkan fotofit yang didedahkan polis.

"Seramai 23 individu sudah diambil keterangan berhubung kes ini (termasuk Faisal dan saksi)

"Justeru, kita memohon mana-mana pihak mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai kejadian simbah asid Faisal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, 5 Mei lalu.

Dalam rakaman berdurasi 56 saat itu menunjukkan seorang lelaki yang memakai topi dan bahagian muka dilindungi kain dalam keadaan berdiri berada di antara beberapa kenderaan lain.

Berdasarkan klip video terbabit, penyerang didapati berselindung di belakang kereta sebelum menyerang Faisal dari arah belakang.

Sebelum menyimbah cecair dipercayai asid, penyerang lengkap bertopi dan berpelitup muka itu mengekori Faisal ke arah keretanya dan menyerang Faisal.

Lelaki terbabit kemudian melarikan diri menggunakan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lagi lelaki.

Kejadian itu juga disaksikan beberapa individu berhampiran selain wanita dipercayai isteri Faisal.

Sementara itu, ditanya sama ada pihak polis akan mendedahkan fotofit seorang lagi suspek dipercayai menunggang motosikal dalam kejadian terbabit, Razarudin berkata, lakaran wajah suspek berdasarkan maklumat saksi berhampiran lokasi kejadian.

"Fotofit yang didedahkan hasil keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian. Ketika itu, seorang lagi suspek yang menaiki motosikal berada agak jauh dari saksi-saksi lain, jadi kita tidak dapat lakaran wajahnya.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dalam kes ini," katanya.

Ahad lalu, Razarudin memaklumkan, pihaknya mengedarkan fotofit atau lakaran wajah dipercayai suspek terbabit serangan asid itu.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan itu.

Suspek dianggarkan berusia 30-an, berketinggian 165 sentimeter (cm), tubuh bersaiz sederhana dan kulit sawo matang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Inspektor Jagachandaran Murugesen di talian 0125848166 atau 0322666071.

Pada 5 Mei lalu, media melaporkan, Faisal yang juga pemain sayap pasukan kebangsaan itu mengalami melecur tahap empat selepas disimbah asid dalam kejadian di pusat beli-belah di Damansara di sini.

#kw fotofit, keterangan, ketua polis negara, saksi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 6:24 PM