ARIF Aiman mengalami kecederaan. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ARIF Aiman mengalami kecederaan. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya boleh dikatakan hilang bisanya selepas Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon terpaksa menggugurkan semua penjaring gol Piala Asia di Qatar bagi pertemuan membabitkan Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Menerusi senarai nama yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan semua penjaring gol ketika Piala Asia di Qatar iaitu Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Romel Morales tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.

Turut terlepas peluang untuk beraksi menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada 6 dan 11 Jun ini adalah tonggak Terengganu FC Azam Azmi Murad yang turut mengalami kecederaan ketika menentang Oman Mac lalu.

"Berdasarkan senarai di atas, Pan-gon mengekalkan seramai 16 daripada 24 pemain dari skuad bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.

"Antara pemain baharu yang tersenarai ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC), Adib Ra'op (Penang FC), Feroz Baharudin (Johor Darul Ta'zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC) dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC)," katanya, menerusi kenyataan media, sebentar tadi.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi bertemu Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari kemudian.

Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Taiwan bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyzstan di Muscat pada 11 Jun.

Mengikut rekod, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Dia berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran tersebut di sebuah hospital swasta di Shah Alam sekali gus memberi bayangan perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum pulih sepenuhnya.

Arif Aiman pula dimaklumkan oleh jurulatih JDT Hector Bidoglio mengalami kecederaan sehingga terpaksa diketepikan pada perlawanan pertama Liga Super bertemu Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 5:25 PM