Hisyam Hamid. FOTO ROHANIS SHUKRI
Hisyam Hamid. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Saya tak mahu hanya kerana satu detik hitam yang berlaku antara kami akan memusnahkan hubungan persahabatan ini. Buat masa ini kami rasa jalan yang terbaik adalah tidak lagi menjadi suami isteri," kata pelakon Singapura, Hisyam Hamid, 39, mengenai hubungannya dengan isteri, Mel Rose Hanafi.

Hisyam berkata, mereka yang sudah membawa haluan sendiri mahu terus fokus ke depan.

"Kami sama-sama ada tanggungjawab terhadap anak-anak dan mereka juga berada di bawah penjagaan saya," katanya.

Menurutnya, sepanjang hampir 20 tahun berumah tangga, banyak pengorbanan yang dilakukannya.

"Tak ada yang salah atau negatif untuk kami teruskan demi anak-anak. Apa yang berlaku sudah berlaku. Buat masa ini kami selesa berkawan baik. Tapi, untuk lebih dari itu saya tak pasti, masa yang akan menentukan.

"Pada akhirnya dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, tidak semuanya buruk dan negatif. Banyak benda positif yang kami lalui.

"Dia melahirkan dua anak saya, itu adalah satu pengorbanan besar. Detik-detik itu saya hargai dan hormat dia," katanya.

Hisyam juga enggan menjadi contoh buruk buat anak-anaknya kerana tidak mahu menjejaskan emosi serta mental mereka.

"Sejak dulu, apa saja yang saya buat, saya akan pastikan tidak ada kontroversi yang menjejaskan anak-anak saya. Saya mahu beri contoh terbaik pada mereka.

"Begitu jugalah bila hal ini ditanya, saya tak mahu pada akhirnya berita itu memberi kesan pada mereka atau mereka tahu dari sumber lain," katanya.

Hisyam dan Mel atau nama sebenarnya Rosmawati Hanafi berkahwin pada 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata, Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15.

Oktober lalu, Hisyam menafikan dakwaan mengenai perceraian antara mereka dan mengambil pendekatan untuk tidak terlalu berkongsi kisah peribadi di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 5:43 PM