Rozairi yakin Terengganu dapat perbaiki kedudukan. FOTO NSTP
Rozairi yakin Terengganu dapat perbaiki kedudukan. FOTO NSTP
Malik Muhamad


PASUKAN futsal Terengganu belum mengangkat bendera putih sebaliknya percaya mampu mencapai sasaran diimpikan.

Pengendalinya, Mohd Rozairi Ahmad berkata, walaupun skuadnya kini berada di tangga keempat Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL), namun peluang mengakhiri liga di kedudukan lebih baik masih terbuka.

"Jika lihat kedudukan terkini kita berada di tangga keempat dengan mengutip 18 mata hasil 12 perlawanan di belakang Perak yang mengumpul 23 mata di kedudukan ketiga liga.

"Dengan berbaki empat perlawanan lagi berbanding Perak tiga perlawanan, kita masih menaruh harapan mampu memperbaiki kedudukan itu untuk mengintai tempat ketiga terbaik liga sebagaimana sasaran awal kita.

"Bagaimanapun saya dah ingatkan pemain perlu mencatat kemenangan dalam baki semua perlawanan itu bagi mengelak keciciran mata," ujar Rozairi selepas berakhir pertemuan dengan KL City FC petang semalam di Stadium Negeri yang berkesudahan skuadnya menang 4-2.

Terengganu membariskan pemain muda bawah 22 tahun akan berdepan Kedah pada 10 September di Stadium Negeri diikuti pendahulu liga, Selangor pada 14 September di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Melaka (21 September) di Stadium Negeri dan terakhir menentang Perak (29 September) juga di Stadium Negeri.

Pengendali KL City FC, Jerry Dinesh Pireira berkata, biarpun skuadnya kini menghuni di tangga terbawah liga dengan hanya mengutip tiga mata daripada 14 perlawanan tanpa sebarang kemenangan, beliau tidak akan mudah menyerah kalah dengan baki dua perlawanan lagi menentang Kedah dan Kuala Lumpur.

"Musim pertama liga adalah eksperimen kepada skuad KL City, saya yakin pasukan kami bakal menjadi pencabar terkuat musim depan,” katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini, Selangor memimpin liga dengan mengutip 35 mata diikuti kedua Pahang dengan 29 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 4:02 PM