AKSI beregu lelaki, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King menentang beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. FOTO ASYRAF HAMZAH
AKSI beregu lelaki, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King menentang beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beraksi di gelanggang sendiri, di depan peminat badminton negara, jelas sekali menaikkan semangat beregu lelaki, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King apabila mencipta kejutan menumpaskan pilihan keempat dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan untuk mara ke suku akhir Masters Malaysia, hari ini.

Arif-Roy King yang berada di ranking ke-47 dunia bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 13-21, 21-15, 21-18 ke atas lawan itu pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena.

Dalam pertemuan sulung antara kedua-dua gandingan itu Arif-Roy King ternyata tidak goyang dengan reputasi Jhe Huei-Po Hsuan sebagai pasangan nombor empat dunia selain memegang status selaku naib juara Terbuka Perancis dan juara Terbuka Jerman.

"Alhamdulillah dapat menang hari ini. Sebenarnya, kami langsung tidak menjangka untuk melakukan kebangkitan kerana fokus kami hanya main dan keluarkan aksi terbaik," kata Arif.

Ujarnya, pada set penentuan mereka memperoleh kelebihan apabila dapat memegang servis selepas mata ke-11.

"Selain itu, kami juga kekal sabar dan meningkatkan kekuatan mental," katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Roy King menyifatkan kemenangan itu meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka andai berdepan pasangan utama dunia yang lain.

"Ini membuktikan kami ada kualiti dan mampu untuk menewaskan pasangan utama dunia. Kami harap boleh kekal konsisten supaya dapat meningkatkan lagi kedudukan ranking dan boleh beraksi dalam kejohanan yang lebih tinggi," katanya.

Menanti mereka di suku akhir esok adalah pilihan keenam dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard yang mengenepikan cabaran beregu veteran Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang.

Turut mara ke pusingan suku akhir esok adalah dua lagi beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menewaskan Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul dari Thailand 21-17, 21-12, manakala Aaron-Chia Soh Wooi Yik menundukkan wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi 21-13, 13-21, 21-10.

Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pilihan kedua dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rassmussen manakala Aaron-Wooi Yik yang tampil sebagai pilihan utama dijadual menentang Jin Yong-Na Sung Seung dari Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 5:51 PM