Farizal (kiri) meraikan kejayaan bersama Nazirul Naim Che Hashim (tengah) dan Shahrul Saad selepas menyingkirkan Thailand. FOTO AFP
Farizal (kiri) meraikan kejayaan bersama Nazirul Naim Che Hashim (tengah) dan Shahrul Saad selepas menyingkirkan Thailand. FOTO AFP
Farah Azharie

 

KUALA LUMPUR: Impian penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias untuk bertemu Vietnam di pentas akhir Piala AFF 2018 akhirnya menjadi realiti dan masanya sudah tiba untuk mereka membalas dendam.

Vietnam yang dikendalikan Park Hang-seo mengesahkan tempat ke final selepas mengetepikan Filipina 4-2 secara agregat dan Harimau Malaya memiliki peluang terbaik untuk menebus kekecewaan dialami pada aksi peringkat kumpulan.

Farizal, 32, berazam untuk membalas dendam susulan kekalahan 2-0 ke atas Vietnam pada 16 November lalu apabila mereka akan melayan kunjungan skuad Naga Emas itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

"Kami sememangnya menantikan Vietnam kerana kami tewas di tangan mereka sebelum ini. Jadi kami mahu menebus kekecewaan itu di pentas final," katanya.

Penjaga gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu yang dijangka akan terus membarisi kesebelasan utama, kerap kali melihat ulang tayang sepakan penalti gagal disempurnakan Adisak Kraisorn sehingga juara bertahan itu terpaksa akur disingkirkan daripada kejohanan itu di laman sendiri.

"Saya melihat tindakannya terlebih dahulu dan dari apa yang saya perhatikan, dia sentiasa melakukan sepakan ke sebelah kiri. Apabila mereka mendapat sepakan penalti minit akhir, mereka tentu mengambil jalan selamat namun kami bertuah.

"Kami memberikan segala-galanya dan perkara seperti itu membunuh semangat kami namun sudah tertulis rezeki berpihak kepada kami," katanya.

Pertembungan terakhir yang menemukan kedua-dua pasukan itu adalah pada 2010 yang menyaksikan Malaysia meraih kemenangan 2-0 untuk mara ke final sebelum bergelar juara pada edisi terbabit.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 7:53 PM