AKSI Regu B Malaysia Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (kiri), Muhammad Shahalril Aiman Halim (dua, kanan) dan Aidil Aiman Azwawi ketika menentang pasukan India. -FOTO Bernama
AKSI Regu B Malaysia Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (kiri), Muhammad Shahalril Aiman Halim (dua, kanan) dan Aidil Aiman Azwawi ketika menentang pasukan India. -FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysia meneruskan rentak kemenangan di suku akhir apabila menjadikan India sebagai mangsa dalam acara regu berpasukan pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kemenangan 2-0 itu membolehkan skuad kendali Ahmad Jais Baharun selangkah ke pentas final apabila akan bertemu Indonesia di separuh akhir malam ini.

Tekong berpengalaman negara, Mohammad Syahir Rosdi, dirinya menjangkakan akan menghadapi tugas sukar dalam perlawanan itu namun setiap pemain sudah bersedia bagi memastikan kemenangan menjadi milik Malaysia.

Jelasnya, Indonesia juga pasti ingin ke final dan ingin menebus kembali kekecewaan mereka yang tewas kepada Malaysia ketika perlawanan akhir regu di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dahulu.

"Indonesia satu pasukan yang kuat selain mempunyai pemain berkualiti serta semangat juang yang tinggi jadi kita kena berjaga-jaga dan tidak terlalu yakin.

"Mereka pasti akan berjuang berhabis-habisa untuk memburu kemenangan dan membalas dendam atas kekalahan lalu (di final Sukan Asia),"katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Thailand melangkah ke separuh akhir selepas membenam Jepun 2-0 untuk bertemu Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:59 PM