FARIZAL (kiri) mahu rakan sepasukan sekat corak permainan hantaran pendek Helang Merah. -Foto fail
FARIZAL (kiri) mahu rakan sepasukan sekat corak permainan hantaran pendek Helang Merah. -Foto fail
Aziman Rosdi

PENJAGA gol FELDA United, Mohd Farizal Harun mengakui mereka perlu menyekat permainan ‘tiki-taka’ Kedah jika mahu mencatat kemenangan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam esok.

Dia berkata, corak permainan hantaran pendek sememangnya menjadi kunci kepada penguasaan bola pemain Kedah untuk menundukkan pasukan lawan.

“Kita fokus untuk menyekat cara permainan Kedah, mereka pun suka main tiki-taka, dari segi ‘set piece’ pun bahaya. Kita sudah kaji dan kita hanya tunggu kesilapan Kedah,” kata Farizal.

FELDA yang berkunjung ke Alor Setar berbekalkan keputusan seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Jengka minggu lalu boleh menarik nafas lega apabila perancang Kedah, Liridon Krasniqi tidak dapat beraksi kerana digantung perlawanan.

Farizal, 31, berkata, mereka perlu mengelak daripada melakukan kesilapan seperti aksi pertama di mana Kedah mendapat sepakan penalti untuk mendahului permainan.

“Peluang Kedah lebih baik sebab jaringan tempat lawan tapi bagi saya itu bukan satu halangan untuk kami, kerana pada saya yang lebih tertekan Kedah sebab bermain di tempat sendiri, kita akan bermain seperti biasa, sabar.

“Cuma kita kena lebih fokus daripada melakukan kesilapan, beri sepakan penalti atau sebarang kesilapan yang membolehkan mereka membuat jaringan,” katanya yang memburu penampilan final kelima dalam karier.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 6:08 PM