PEMAIN Argentina, Paz Diego (kiri) diasak pemain Malaysia, Tengku Abdul Jalil (kanan) pada aksi persahabatan sempena saingan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
PEMAIN Argentina, Paz Diego (kiri) diasak pemain Malaysia, Tengku Abdul Jalil (kanan) pada aksi persahabatan sempena saingan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
Jugjet Singh


PEMENANG pingat emas Sukan Olimpik, Argentina tiba secara berperingkat kelmarin dan semalam dan hari ini mereka menewaskan Malaysia 3-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Namun perlawanan persahabatan antarabangsa itu hampir bertukar menjadi aksi tinju antarabangsa, berikutan ketegangan yang meletus ketika Malaysia kembali mengikat aksi 1-1.

Selepas beberapa minit insiden tolak menolak berlaku, yang turut membabitkan penjaga gol Argentina, Juan Vivaldi dan penyerang negara Faizal Saari, perlawanan kembali bersambung.

Argentina yang tidak menampakkan tanda kepenatan mengharungi perjalanan jauh, memperoleh jaringan menerusi sentuhan Lucas Villa pada minit ke-19 dan 48 dan Gonzalo Peillat (m-46).

Gol Malaysia pula disumbangkan oleh Nik Aiman Nik Rozemi (m-31) dan Azri Hassan (m-60).

Namun Malaysia, di ranking ke-12 dunia, nampak tidak bersungguh dan kurang tajam berbanding juara Olimpik itu yang tampak ‘kelaparan.’

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen akan beraksi dalam satu lagi aksi persahabatan menentang Argentina esok sebelum memutuskan senarai 18 pemain untuk ke Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh bermula Sabtu ini.

Pasukan lain yang beraksi dalam saingan edisi ke-27 itu adalah Australia, Britain, India dan Ireland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 11:18 PM