VAN Huizen (dua dari kiri) gemar guna pemain sedia ada.
VAN Huizen (dua dari kiri) gemar guna pemain sedia ada.
Jugjet Singh


KETUA jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen menutup pintu buat bekas pemain ketika beliau lebih berminat untuk terus meletakkan kepercayaan ke atas pemain sedia ada termasuk empat pemain percubaan bagi menghadapi kalendar hoki yang sibuk tahun ini.

Beliau berasakan tempoh sebulan Liga Hoki Malaysia (LHM) tidak cukup untuk menilai potensi sebenar pemain, tatkala mereka hanya menampilkan persembahan cemerlang untuk tempoh yang singkat.

“Ya, saya sedar kami akan mengharungi kempen yang sibuk, dengan banyak kejohanan dan perlawanan persahabatan sudah diatur, tapi saya kekal dengan barisan pemain sedia ada.

“Saya percaya 24 pemain ini adalah yang terbaik dan saya juga mempunyai empat lagi pemain muda (percubaan) yang boleh dinaikkan pangkat bila perlu.

“Malah selepas dua aksi persahabatan menentang Argentina saya mungkin menamakan satu atau dua pemain muda untuk menggantikan beberapa tempat pemain senior yang cedera.

“Tapi tidak perlu untuk saya menekan butang panik dengan memanggil bekas pemain kebangsaan,” kata Van Huizen sebentar tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diaturkan oleh Astro, yang akan membawa siaran langsung aksi Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh dari 3 hingga 10 Mac ini.

Malaysia akan berdepan saingan juara dunia Australia, pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Argentina, juara Asia, India, England dan Ireland pada Piala Sultan Azlan Shah kali ini.

Dua minggu kemudian, mereka akan berlepas ke Gold Coast untuk menyertai Sukan Komanwel (4-15 April) diikuti Sukan Asia (18 Ogos-2 September), Trofi Juara-Juara Asia (18-28 Oktober) sebelum ke Piala Dunia (28 November-16 Disember).

Empat pemain percubaan yang ketika ini sedang mengikuti latihan kem negara adalah Najib Abu Hassan (TNB), Luqman Nul Hakim (THT), Sufi Ismat (THT) dan Ashran Hamsani (UniKL).

Dengan sesi pendengaran kes doping penjaga gol nombor satu negara S Kumar masih belum diputuskan oleh Persekutuan Hoki Dunia (FIH), Van Huizen kini hanya mempunyai khidmat penjaga gol muda iaitu Zaimi Mat Deris, Hairi Abdul Rahman dan Hafizuddin Othman.

Antara pemain yang beraksi baik pada kempen LHM musim ini adalah penjaga gol Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) Roslan Jamaluddin dan pertahanan UniKL, Baljit Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 4:01 PM