LAHIRI berharap mampu menyumbang mata kemenangan kepada pasukan di Liberty National minggu ini.
LAHIRI berharap mampu menyumbang mata kemenangan kepada pasukan di Liberty National minggu ini.
AFP

JERSEY, Amerika Syarikat: Sudah dua tahun berlalu apabila tolakan putt jarak dekat Anirban Lahiri pada hari terakhir membantu Amerika Syarikat melakar satu lagi kejuaraan Piala Presiden.

Pemain golf India itu berharap menebus kesilapan itu apabila pasukan bukan pilihan Antarabangsa mencabar AS sekali lagi di Liberty National minggu ini bagi edisi ke-12 pertandingan match play dwitahunan itu.

“Saya mengecewakan pasukan dan saya berasa perlu kembali ke luar sana dan menyumbang mata kemenangan,” kata Lahiri selepas mendapat panggilan kapten pasukan Antarabangsa, Nick Price.

Lahiri berdepan tolakan birdie dari jarak empat kaki untuk menyamakan kedudukan dalam perlawanan individu menentang Chris Kirk di Incheon dua tahun lalu namun ia tersasar sekali gus memberikan Kirk mata genting ketika AS menang 15.5-14.5.

Price percaya pengalaman sebegitu menjadikan pemain lebih tabah dan beliau tidak teragak-agak memanggil pemain ranking ke-68 dunia Lahiri sebagai satu daripada pemain pilihan kapten.

“Anda perlu belajar kalah sebelum anda benar-benar menghargai bagaimana sukarnya untuk menang,” kata Price.

Pemenang dua kejohanan dalam Jelajah Eropah, Lahiri dibelenggu kecederaan dalam hampir keseluruhan musim 2016 namun memulakan musim ini dengan berkongsi tangga ketiga pada kejohanan Klasik CIMB di Kuala Lumpur dan melakar pencapaian terbaiknya dalam Jelajah AS setakat ini apabila berkongsi tangga kedua di Memorial.

Penamat 10 teratas dalam Kejuaraan BMW bulan ini satu lagi petanda Lahiri mampu menjadi penyumbang bermakna dalam pasukan dan tidak terjejas dengan kehebatan bakat skuad AS yang mana semua 12 pemain mereka berada di ranking 30 terbaik dunia.

“Mereka semakin bersemangat,” kata Price mengenai pemainnya. “Mereka mempunyai motivasi tinggi dan seperti anda tahu, apabila anda mempunyai pasukan yang bermotivasi dan kuat semangat sepasukan serta moral yang bagus jadi langit adalah pemisah.”

Sekalipun mereka hanya menang sekali dan seri sekali dalam 11 edisi terdahulu, Price menegaskan ada peningkatan di Incheon, yang mana empat daripada lima sesi berakhir dengan AS mendahului hanya satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 1:38 PM