ZULFAZLI dan Naziemi mempunyai minat dalam aktiviti luar sejak di universiti.
ZULFAZLI dan Naziemi mempunyai minat dalam aktiviti luar sejak di universiti.
Hafiz Ithnin


"SEKARANG ini anak sendiri akan tanya bila mahu masuk hutan lagi? Ia menunjukkan bahawa anak gembira apabila kami beriadah di sana," jelas bapa berusia 29 tahun itu kepada penulis.

Sebenarnya penulis tertarik dengan pasangan suami isteri ini kerana membawa anak mereka yang kini berusia empat tahun menikmati keindahan hutan sejak berusia empat bulan.

Muhamad Zulfazli Zainal dan isteri, Nur Naziemi Mohd Yusoff, 31, mempunyai minat sama dalam dunia alam semula jadi sebelum berkahwin pada 2018.

Mereka bertemu jodoh pun ketika melakukan aktiviti rekreasi dan saat itu masih menuntut di universiti dan mahu meneruskan aktiviti itu meskipun sudah mempunyai anak.

Jelasnya, setahun selepas berkahwin dia dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Seth Imran.

"Pada usia anak empat bulan saya dan isteri membawanya untuk beriadah di Sungai Pertak di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan ia bukan aktiviti bermalam kerana ingin melihat sama ada anak selesa atau tidak terlebih dahulu.

"Selepas kali pertama itu, Seth Imran tidak meragam dan sebagai ibu bapa kita boleh tahu yang dia seronok apabila beriadah dalam hutan terutama apabila berkhemah," katanya.

Jelasnya, sejak itu mereka meneruskan aktiviti beriadah dalam hutan dengan anak mereka. Sehingga usia Seth Imran tujuh bulan mereka mencuba bermalam dalam hutan.

"Apabila kali pertama membawa Seth Imran bermalam dalam hutan, dia juga nampak lebih seronok kerana kami banyak mengadakan pelbagai aktiviti bersamanya.

"Antaranya mandi sungai, memasak bersama dan saya sebagai malim gunung banyak memperkenalkannya dengan nama pokok dalam hutan. Ternyata aktiviti seperti itu memberi keseronokan kepadanya," katanya.

AKTIVITI berkhemah di kawasan hutan mengisi waktu santai.
AKTIVITI berkhemah di kawasan hutan mengisi waktu santai.

Sebenarnya video mereka sekeluarga agak tular di media sosial apabila Nur Naziemi memuat naik aktiviti keluarga mereka di media sosial dengan gambar Seth Imran masih bayi sehingga kini.

Di ruangan komen pastinya ada pelbagai maklum balas pengguna media sosial yang menyuarakan rasa khuatir apabila membawa anak yang masih kecil beriadah dalam hutan.

Bagi Zulfazli, dia melihat maklum balas negatif adalah perkara yang biasa kerana mungkin segelintir ibu bapa melihat membawa anak yang masih kecil beriadah dengan cara itu tidak sesuai terutama membabitkan perkara ghaib.

SETH Imran belajar banyak perkara ketika bermalam dalam hutan.
SETH Imran belajar banyak perkara ketika bermalam dalam hutan.

Katanya, sebagai peminat aktiviti luar sudah pasti keselamatan keluarga ketika beriadah menjadi keutamaan dan dia juga percaya wujud perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

"Pertama sekali saya sentiasa amalkan bacaan doa supaya kedatangan kami untuk beriadah tidak diganggu dan kedua perlu memastikan niat yang betul.

"Apabila membawa anak masuk dalam hutan terutama pada usia yang masih bayi, saya sentiasa memantau tingkah lakunya. Jika tiba-tiba dia menangis atau memberi tahu perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, kita perlu ambil maklum dan beritahu bahawa hanya ibu dan ayah yang boleh menjadi kawannya ketika berkhemah," katanya.

Katanya, dari sudut positif yang lain dia melihat membawa anak beriadah dalam hutan menjadikan anaknya lebih peka keadaan sekeliling.

"Contohnya apabila anak sudah penat bermandi sungai, sebelum tidur dia akan ceritakan kepada kami aktiviti yang sudah dia lakukan sepanjang hari.

"Malah, saya dan isteri juga menggalakkan dia untuk sama-sama melakukan aktiviti di tapak perkhemahan seperti berkemas dan menyediakan makanan. Perkara itu lebih memberi keseronokan kepada Seth Imran apabila beriadah dengan cara ini," katanya.

ZULFAZLI bersama Seth Imran di Glacier Cave, Chamonix di Perancis.
ZULFAZLI bersama Seth Imran di Glacier Cave, Chamonix di Perancis.

Ditanya mengenai maklum balas ibu dan bapa mereka apabila membawa anak yang masih kecil beriadah dalam hutan, katanya, ibu dan bapa mentuanya gemarkan aktiviti berkhemah dan perkara itu bukan menjadi sesuatu yang asing.

"Cuma keluarga saya agak bimbang pada awalnya, tetapi apabila sudah beberapa kali dan Seth Imran pun banyak bercerita mengenai keseronokan beriadah dengan cara itu kepada keluarga saya pun jadi faham dengan minat kami sekeluarga," katanya.

Bagi Zulfazli, apabila ingin membawa anak yang masih kecil beriadah dalam hutan perlu dilakukan secara berperingkat.

"Seperti saya katakan kita pada mulanya hanya bawa anak untuk aktiviti yang tidak perlu bermalam dahulu. Kemudian apabila lihat dia sudah selesa baru kita bawa mendaki bukit yang mudah dan berkhemah.

"Pada pendapat saya jadikan aktiviti ini sebagai sesuatu yang selamat dan seronok untuk anak-anak lebih menghargai alam semula jadi. Sebagai ibu bapa pula kita kena sentiasa memantau pergerakan anak dan tidak boleh biarkan dia keseorangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 7:00 AM