Hafiz Ithnin

Sebelum artikel ini disiapkan, penulis bertanya rakan rekreasi di Facebook jika mereka yang mempunyai anak di bawah usia 10 tahun terbabit dalam aktiviti lasak untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca Harian Metro.

Agak terkejut juga kerana penulis tidak putus-putus menerima mesej dan maklum balas positif. Seorang demi seorang rakan di Facebook berkongsikan kisah mereka melakukan aktiviti lasak bersama anak kecil.

Keadaan itu sedikit sebanyak menunjukkan aktiviti beriadah atau bersantai bersama keluarga sudah berubah. Ibu bapa atau penjaga kini lebih terbuka untuk memberi pendedahan awal kepada anak mereka menyertai aktiviti lasak.

Sempena cuti sekolah ini, bagi ibu bapa yang masih tercari-cari apakah aktiviti yang sesuai untuk dilakukan bersama anak, bolehlah meninjau beberapa lokasi berhampiran rumah untuk diteroka. Mungkin juga boleh merancang perjalanan berbasikal ke destinasi lebih jauh bersama seisi keluarga.

HUTAN tropika tempatan mampu memberi ilmu alam secara lebih dekat.
HUTAN tropika tempatan mampu memberi ilmu alam secara lebih dekat.

Meskipun masih perlu meluangkan masa menjenguk datuk dan nenek di kampung, cuti sekolah ini akan lebih bermakna jika diisi dengan aktiviti yang dapat meningkatkan stamina serta tidak terikat kepada program di pusat beli-belah, mengunjungi taman tema dan ‘seangkatan’ dengannya.

Berbasikal adalah antara aktiviti yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini dan boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja acara yang dianjurkan pelbagai pihak untuk disertai orang ramai.

Memandangkan berbasikal mempunyai pelbagai disiplin dan konsep, penulis mencadangkan anda menyertai aktiviti kembara berbasikal yang semakin popular dalam kalangan ibu bapa muda.

BERBASIKAL kembara mengeratkan hubungan keluarga.
BERBASIKAL kembara mengeratkan hubungan keluarga.

Anda boleh memilih destinasi kembara berbasikal ini mengikut kemampuan tenaga dan bajet. Apa yang penting bawalah keperluan sesuai untuk bermalam seperti peralatan perkhemahan.

Di Malaysia, laluan berbasikal di kawasan popular untuk pengembara berbasikal kadangkala sesak dengan kenderaan lain, jadi anda boleh melakukan modifikasi basikal bagi memudahkan anda bercuti bersama anak.

Ini kerana basikal mengembara boleh disambungkan dengan basikal kedua untuk kanak-kanak yang sudah pandai mengayuh. Ada juga basikal mengembara yang boleh dipasang bakul bayi khas untuk memudahkan anda membawa si kecil.

Untuk permulaan pengembaraan, anda boleh memilih lokasi yang tidak terlalu jauh dan mempunyai tapak perkhemahan selamat untuk bermalam.

PELBAGAI jenis basikal untuk memulakan aktiviti kembara berbasikal bersama anak.
PELBAGAI jenis basikal untuk memulakan aktiviti kembara berbasikal bersama anak.

Aktiviti mendaki di Malaysia juga dilihat semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Jika membuka laman sosial, sudah pasti ada saja yang berkongsi foto kenangan membabitkan kegiatan itu.

Mendaki adalah antara aktiviti yang boleh dimasukkan di dalam program pada cuti sekolah kerana ia bukan saja dapat mengeluarkan peluh tetapi membina stamina, kemahiran dan mengeratkan hubungan keluarga.

Jika anda baru kali pertama mendaki, sebaiknya dapatkan khidmat petunjuk arah yang mengetahui laluan pendakian supaya tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini terutama sesat di dalam hutan.

MENGEMBARA di dalam hutan beri pendedahan ilmu alam kepada kanak-kanak.
MENGEMBARA di dalam hutan beri pendedahan ilmu alam kepada kanak-kanak.

Dalam aktiviti ini, antara perkara yang perlu diambil kira adalah pakaian dan kasut yang sesuai, beg galas dan paling penting membawa bekalan makanan dan minuman secukupnya.

Penulis sendiri sebenarnya cukup gembira apabila ada rakan pendaki membawa anak dalam ekspedisi yang kami anjurkan. Naluri ingin tahu kanak-kanak akan merangsang mereka untuk bertanya pelbagai soalan berkaitan haiwan dan alam semula jadi.

Mendaki bersama anak dapat memberi pendedahan kepada mereka mengenai alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuh, serangga dan juga keadaan cuaca. Paling penting, sebagai orang yang lebih dewasa kita perlu bijak untuk memberi penjelasan yang betul kepada mereka.

LARIAN denai bersama si kecil juga boleh dilakukan semasa cuti sekolah.
LARIAN denai bersama si kecil juga boleh dilakukan semasa cuti sekolah.

Bagi mereka yang tidak gemarkan aktiviti berbasikal kembara atau mendaki, jangan risau kerana masih banyak pilihan untuk melakukan aktiviti lasak bersama anak di dalam bangunan.

Anda boleh mencuba aktiviti mendaki tembok tiruan atau wallclimbing yang boleh dilakukan walaupun cuaca hujan! Inilah masanya menguji daya ketahanan anda kepada anak.

Lebih menarik aktiviti mendaki tembok tiruan boleh disertai seisi keluarga tanpa mengira had umur. Paling penting mereka mempunyai stamina untuk mendaki dan tidak takut kepada ketinggian.

Di beberapa pusat mendaki tembok tiruan juga mempunyai ruangan khas untuk kanak-kanak yang tidak memerlukan mereka memakai kelengkapan mendaki iaitu kasut khas mendaki dan abah-abah.

Di ruang pendakian untuk kanak-kanak ini biasanya batu buatan yang dilekatkan di tembok lebih mudah dipegang. Malah, di bawahnya juga terdapat tilam yang selamat untuk menjatuhkan badan.

MENDAKI tembok tiruan menjadi aktiviti mencabar dan menguji stamina kanak-kanak.
MENDAKI tembok tiruan menjadi aktiviti mencabar dan menguji stamina kanak-kanak.

Bagi golongan remaja, anda boleh mencuba laluan pendakian yang lebih mudah dengan melakukan disiplin top rope iaitu tali pendakian sudah sedia dipasang dan dikawal oleh penjaga tali keselamatan berpengalaman.

Mengenai peralatan pendakian, tidak perlu risau kerana pusat pendakian tembok tiruan biasanya menawarkan peralatan untuk disewa pada harga berpatutan.

Aktiviti lasak ini bukan sahaja dapat menjadikan anda sekeluarga lebih sihat malah ia juga mampu mengeratkan hubungan keluarga. Lebih penting, aktiviti luar ini boleh menjarakkan anak dengan gajet yang semakin menjadi ‘teman karib’ mereka.

KEPELBAGAIAN flora dan fauna di hutan Malaysia menjadikan aktiviti pendakian yang menarik untuk si kecil.
KEPELBAGAIAN flora dan fauna di hutan Malaysia menjadikan aktiviti pendakian yang menarik untuk si kecil.

Lokasi popular berkhemah di Malaysia

1. Sungai Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu

2. Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu

3. Sungai Sendat, Ulu Yam

4. RISDA Eco Park, Ulu Slim

5. Kem Sungai Pauh, Cameron Highlands.

Lokasi popular mendaki di Malaysia

1. Bukit Batu Putih, Port Dickson

2. Bukit Broga, Semenyih

3. Denai Tiga Puteri, Petaling Jaya

4. Bukit Gasing, Petaling Jaya

5. Gunung Angsi, Kuala Pilah

Lokasi popular mendaki tembok tiruan di Malaysia

1. Taman Cabaran Putrajaya (PCP), Putrajaya

2. Camp5 Climbing Gym, Petaling Jaya, Selangor

3. Sabah Indoor Climbing Centre, Kota Kinabalu, Sabah

4. Bolder Ventures Climbing Gym, Subang Jaya, Selangor

5. Rockworld, Skudai, Johor

6. Petit Climbing Center/Petit Outdoor, Johor Bahru, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 2:34 PM