TANGKAP layar video tular kejadian rompakan di sebuah pasar raya di Kajang hari ini.
TANGKAP layar video tular kejadian rompakan di sebuah pasar raya di Kajang hari ini.
Mohd Haris Fadli Mohd Fazdil


Kajang: Tidak sampai 10 minit habis licin barangan kemas dilarikan empat lelaki bersenjata yang berpakaian seperti pengawal keselamatan dalam rompakan kedai emas di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini.

Saksi kejadian, Nieza, 33, berkata kejadian itu berlaku pantas dan bermula dengan bunyi letupan dipercayai tembakan daripada senjata api.

"Keadaan bertukar panik selepas mendengar bunyi tembakan itu lalu saya dan rakan sekerja dengan pantas keluar meninggalkan kedai untuk menyelamatkan diri.

"Semasa keluar dari kedai kami nampak empat lelaki bertopeng sedang pecahkan kotak pameran di kedai emas yang terletak tidak jauh dari kedai kami," kata jurujual itu ketika ditemui di lokasi, di sini hari ini.

Menurutnya, itu kejadian rompakan kedua berlaku di pusat beli-belah itu sepanjang hampir lima tahun dia bekerja di situ.

Katanya, ada sedikit rasa gerun selepas menyaksikan kejadian itu di depan mata namun akan terus datang bekerja seperti biasa.

Sementara itu tinjauan Harian Metro mendapati kawasan keliling premis berkenaan sudah ditutup dengan pita Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu Harian Metro melaporkan empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata kejadian dipercayai berlaku jam 3.17 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 10:55 PM