Igor Stimac
Igor Stimac
AFP

New Delhi: Pasukan bola sepak India menerima tamparan hebat dalam persiapan kelayakan Piala Asia 2027 apabila pengendalinya Igor Stimac dipecat selepas prestasi buruk pasukan itu dalam kempen kelayakan Piala Dunia, kata persekutuan bola sepak negara itu.

Kekalahan 2-1 India kepada Qatar awal bulan ini memusnahkan impian mereka mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia buat kali pertama.

India menamatkan kempen kelayakan dalam Kumpulan A di tempat ketiga, di belakang Kuwait dan Qatar.

"Melihat keputusan mengecewakan skuad senior kebangsaan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026, kami bersetuju bahawa ketua jurulatih baharu akan diletakkan pada kedudukan terbaik untuk membawa pasukan bergerak ke hadapan," kata Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) dalam satu kenyataan.

"Notis penamatan dikeluarkan kepada Stimac oleh Sekretariat AIFF dan dia dilepaskan daripada tanggungjawabnya berkuat kuasa serta-merta".

Pada aksi berdepan Qatar, India menjaringkan gol pada separuh masa pertama sebelum Youssef Ayman menyamakan kedudukan pada minit ke-73.

Jaringan Qatar itu sangat kontroversi dengan beberapa tayangan ulang tayang di televisyen menunjukkan bahawa bola sudah keluar dari permainan sebelum gol berkenaan dihasilkan.

Pemain India membantah sekeras-kerasnya jaringan itu, namun dengan teknologi video bantuan pengadil (VAR) tidak digunakan, jaringan itu tetap dikira.

Juara Asia, Qatar, yang sudah layak ke pusingan seterusnya menjaringkan gol kemenangan lima minit sebelum tamat untuk menutup peluang India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 12:52 AM