PAPAN tanda keselamatan yang memberi peringatan kepada pengunjung supaya berhati-hati ketika beriadah.
PAPAN tanda keselamatan yang memberi peringatan kepada pengunjung supaya berhati-hati ketika beriadah.
Hafiz Ithnin

Hutan Lipur Sungai Congkak di Hulu Langat, Selangor ini bukan sesuatu yang asing bagi warga Kuala Lumpur untuk bersantai pada hujung minggu.

Mempunyai keindahan flora dan fauna unik, deruan air sungai mengalir jernih sememangnya menjanjikan kedamaian tersendiri buat anda yang mengunjunginya.

Lebih menarik, sepanjang laluan menghala ke lokasi itu, anda yang perlu melalui beberapa pekan di Hulu Langat disajikan ketenangan luar biasa terutama pada waktu pagi walaupun kadangkala perlu menempuh kesesakan lalu lintas.

Di sekelilingnya terdapat kawasan kampung yang masih terpelihara terutama deretan gerai makanan menawarkan pelbagai menu kampung seakan-akan membawa pengunjung terpisah sebentar daripada kehidupan kota yang sebenarnya tidak jauh dari kawasan itu.

LALUAN masuk ke Hutan Lipur Sungai Congkak yang bertar memudahkan pemanduan.
LALUAN masuk ke Hutan Lipur Sungai Congkak yang bertar memudahkan pemanduan.

Sebaik saja tiba di tapak letak kereta di hutan lipur itu, ikon petunjuk Internet dan isyarat telekomunikasi di telefon bimbit mula ‘tenggelam’ dan akhirnya tiada perkhidmatan seolah-olah memberi isyarat anda sudah berada di kawasan yang tidak perlu diganggu.

Anda boleh membawa kenderaan masuk ke hutan lipur itu kerana ada jalan tar namun perlu lebih berhati-hati ketika memandu.

Sepanjang jalan ada pelbagai kemudahan tapak perkhemahan selain beberapa unit chalet yang boleh disewa.

Tidak mustahil kawasan ini sentiasa menjadi tumpuan pengunjung untuk aktiviti berkhemah.

Selain itu, sungai yang berhampiran tapak perkhemahan memudahkan orang ramai mendapatkan sumber air ketika berkhemah.

TAPAK perkhemahan yang pelbagai memberi pilihan kepada pengunjung.
TAPAK perkhemahan yang pelbagai memberi pilihan kepada pengunjung.

Penulis melihat kawasan itu sesuai untuk aktiviti perkhemahan pembangunan modal insan kerana tapak perkhemahan yang terurus memudahkan pihak penganjur mengadakan pelbagai aktiviti.

Sementara di hujung jalan pula, tersedia tapak perkhemahan paling luas dan sesuai untuk mereka yang ingin mengadakan aktiviti dalam satu kumpulan besar.

Pondok kecil dan terbuka yang ada di situ juga membolehkan peserta melakukan aktiviti pembelajaran sekiranya hujan serta memudahkan pengunjung berkelah tanpa bermalam.

Walaupun Hutan Lipur Sungai Congkak tidak mempunyai air terjun, laluan air sungainya yang luas dan tidak begitu dalam di sesetengah tempat sesuai untuk kanak-kanak bermain.

KEMUDAHAN tandas memberi keselesaan kepada pengunjung.
KEMUDAHAN tandas memberi keselesaan kepada pengunjung.

Ia turut menawarkan aktiviti mendaki di Bukit Chenuang setinggi kira-kira 850 meter yang menjadi tumpuan pendaki untuk menakluki puncaknya terutama pada hujung minggu.

Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti pembangunan insan, aktiviti mendaki di bukit ini juga satu daripada kegiatan menarik kerana ia tidak mengambil masa lama untuk sampai ke puncaknya.

Secara keseluruhan, hutan lipur ini mempunyai kemudahan yang agak baik untuk aktiviti keluarga dan perkhemahan. Anda yang inginkan lebih cabaran boleh meneroka kawasan lebih dalam selepas tapak perkhemahan terakhir.

Bagaimanapun, aspek keselamatan harus diutamakan meskipun kawasan itu boleh dikategorikan sebagai tarikan pelancong yang komersial dan sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.

 AIR sungai mengalir jernih.
AIR sungai mengalir jernih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 8:15 AM