PENGEMBARAAN yang amat menyeronokkan dan berbaloi.
PENGEMBARAAN yang amat menyeronokkan dan berbaloi.
Muhamaad Razis Ismail


SELEPAS beberapa bulan terpaksa 'berkurung' akibat pandemik Covid-19, ramai yang mengambil peluang melancong ketika cuti sekolah Disember lalu.

Perkara sama turut dilakukan Muhamad Saiful Saaidin yang mengambil kesempatan mengembara bersama isteri dan tiga anaknya ke tujuh negeri di Semenanjung Malaysia selama sembilan hari dengan kereta Perodua Viva.

Lebih menarik, hampir sepanjang pengembaraan yang bermula pada 10 Disember lalu dari Pulau Pinang itu, mereka bermalam di tapak perkhemahan di setiap destinasi yang dikunjungi termasuk di sekitar Perak, Melaka, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

Muhamad Saiful berkata, mengikut perancangan asal, mereka ingin mengelilingi Semenanjung Malaysia, namun selepas mengambil kira faktor musim tengkujuh di pantai timur, perancangan ditukar hanya di sebelah pantai barat saja

BERKHEMAH di Tasik Raban, Perak.
BERKHEMAH di Tasik Raban, Perak.

"Apa yang dititik beratkan ialah pengembaraan kali ini mesti sampai ke 'penghujung' Benua Asia iaitu Tanjung Piai, Johor dengan kos yang paling minimum.

"Justeru itu bagi meminimumkan kos, pemilihan kenderaan mestilah di bawah 1000cc, laluan perjalanan mestilah jalan biasa dan berkhemah.

ANTARA aktiviti menarik di El Dhuha Campsite, Johor.
ANTARA aktiviti menarik di El Dhuha Campsite, Johor.

"Kereta dipilih kerana lebih selesa untuk berhenti di mana-mana dan alatan perkhemahan serta beg pakaian dapat diangkut dengan mudah namun perlu disusun dengan rapi," katanya.

Menurutnya, perancangan untuk pengembaraan ini dibuat bermula awal November 2021 dengan mengenal pasti lokasi tapak perkhemahan untuk bermalam.

"Kemudian barulah kami merancang perjalanan bagi mendapatkan semaksimum mungkin 'jalan-jalan' atau 'makan angin'.

"Akhir sekali barulah tarikh ditetapkan dengan memilih pada permulaan cuti sekolah kerana pada ketika itu ramai orang belum keluar bercuti sekali gus dapat mengelakkan jalan sesak dan tapak perkhemahan penuh," katanya.

Muhamad Saiful berkata, antara cabaran yang tidak boleh dilupakan sepanjang pengembaraan ini adalah apabila berdepan hujan lebat bermula pada 16 sehingga 19 Disember lalu sehingga menyukarkan aktiviti berkhemah.

BERJAYA mencapai misi untuk ke Tanjung Piai, Johor.
BERJAYA mencapai misi untuk ke Tanjung Piai, Johor.

"Pada ketika itu kami berada di Bukit Fraser. Keadaan hujan berlarutan ditambah pula dengan suhu sejuk menyebabkan saya terpaksa memilih menginap di hotel."

"Berikutan berlaku tanah runtuh dan pokok tumbang ketika berada di Bukit Fraser, kami memutuskan untuk turun awal iaitu pada 18 Disember lalu," katanya.

Muhamad Saiful turut berkongsi pengalaman menarik ketika berkhemah di Taman Eko Rimba Taka Melur, Labis, Johor yang terletak agak jauh di dalam hutan.

"Apabila tiba, saya terkedu sebaik dimaklumkan permit daripada Jabatan Perhutanan diperlukan untuk berkhemah di situ.

"Mujurlah salah seorang individu yang dipanggil Abang Jasni menawarkan untuk 'menumpang' permit mereka yang boleh digunakan untuk 25 orang.

"Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan individu yang baik dan sangat membantu biarpun kami tidak saling mengenali," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan pengembaraan sejauh 2,550 kilometer ini amat menyeronokkan dan berbaloi dengan kos perbelanjaan RM1,500.

"Saya dapat berpeluang menikmati pengalaman berkhemah di pantai (Teluk Batik dan Pantai Puteri), hutan (Taman Eko Rimba Taka Melur), kaki gunung (El Dhuha Campsite), sungai (Cherry Campsite Janda Baik) dan tasik (Resort Tasik Raban).

"Untuk masa hadapan, kami merancang melengkapkan pengembaraan melalui pantai timur pula dengan bermula dari Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 6:30 AM